Zahid yakin UMNO kembali perintah Sabah

PUTATAN - Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa UMNO Sabah yang berdepan dengan ujian ketika ini akan memerintah semula Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa UMNO yang ada di Sabah bukan sebuah parti Semenanjung sebaliknya ia adalah sebuah parti nasional.

"UMNO bukan sebuah parti Semenanjung, UMNO bukan sebuah parti Malaya. UMNO adalah sebuah parti kebangsaan, parti nasional dan tidak ada hasrat untuk UMNO masuk ke Sabah tetapi UMNO dijemput oleh orang Sabah, rakyat Sabah yang mahukan UMNO bersama-sama.

"UMNO yang suatu ketika sangat gemilang di Sabah ini pasti untuk tempoh tujuh tahun ini ujian akan berakhir. Dalam surah Yusuf menyebut tujuh musim kemarau dan tujuh tahun musim kemarau dan Insya-ALLAH akan datang tujuh tahun musim gemilang kepada UMNO Sabah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Cawangan-Cawangan dan Santapan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut berkata, kemenangan akan berpihak kepada UMNO jika semua pihak memberi komitmen masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Jika berlaku peristiwa besar pada tahun ini mungkin kalau tidak pertengahan tahun, mungkin tiga per empat tahun atau selewat-lewatnya tahun depan.

"Kalau ini semangat diperlihatkan bukan saja di Putatan tetapi ia diperlihatkan komitmen ketua-ketua bahagian yang ada pada hari ini, saya amat yakin kemenangan Insya-ALLAH memihak kepada kita semula," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan langkah ke depan UMNO Sabah menjalankan gerak kerja lebih awal akan memperlihatkan masa depan parti itu akan cerah semula di negeri ini.

Sebelum itu, hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha UMNO Sabah dan Datuk Jafry Ariffin dan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!