Segera salur peruntukan ahli Parlimen jika tiada syarat - Takiyuddin

KOTA BHARU - Pembangkang meminta Kerajaan Perpaduan segera menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen blok itu jika benar akan diberikan tanpa syarat seperti disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan terbabit sudah terlewat setahun dalam memberikan peruntukan berkenaan sedangkan perkara itu sudah diluluskan dalam Belanjawan 2024 tahun lalu.

Menurut beliau, perkara berkaitan perlu disegerakan kerana tuntutan dan keperluan bagi kepentingan kepada keseluruhan rakyat.

“Jika betul diberikan tanpa syarat, apa tunggu lagi, luluskan dan salurkan kerana rakyat sedang menunggu.

“Sebab peruntukan ini untuk rakyat, bukan untuk ahli Parlimen, ahli Parlimen hanya agihkan kepada rakyat tanpa mengira fahaman atau latar belakang politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas itu, tidak sepatutnya ditetapkan apa-apa syarat dalam agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang kerana perkara itu sudah ada dalam Belanjawan 2024.

Katanya, tawaran penyaluran peruntukan tersebut juga datang daripada pihak kerajaan dan pihak pembangkang hanya menunggu apa-apa keputusan daripada tawaran tersebut.

“Setakat ini, di pihak kami masih belum menerima apa-apa berkait tawaran tersebut dan Perdana Menteri menyatakan tidak ada syarat sokong beliau baru dapat peruntukan, maka itulah yang sepatutnya.

“Semua bergantung kepada kerajaan, jika mereka mahu percepatkan, maka cepatlah kita terima peruntukan itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat dua syarat utama dalam terma draf memorandum persefahaman (MoU) agihan peruntukan tahunan pembangunan kawasan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dijangka menjadi titik fokus perundingan di antara wakil kerajaan dan delegasi blok pembangkang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!