Parti komponen BN perlu bantu calon PRK - Mohamad

REMBAU - Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu membantu calon dalam Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu 11 Mei ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana BN menghormati sistem yang telah diperakukan sebelum ini bahawa parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan akan diberi keutamaan untuk meletakkan calon pada PRK berkenaan.

"Ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU), kita boleh tukar-tukar kerusi, tapi bila ada kematian kita bagi peluang kepada parti pemegang jawatan untuk meletakkan calon.

"Sepatutnya kita perlu bantu kerana orang dah bantu kita, kita bantu pula rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan. Ini cuma untuk kita pastikan supaya urusan pentadbiran menghadapi PRK ini dapat diurus dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dijangka dihadiri 40,000 tetamu di kediamannya di Rantau di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Seong.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian bagi mengulas tindakan MCA dan MIC yang memaklumkan tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan bukan daripada BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pihaknya akan menguruskan perkara itu dalam BN selain memaklumkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan turut membantu calon BN ketika PRK Pelangai diadakan sebelum ini.

“Kini giliran DAP iaitu pemegang jawatan, persefahaman kita bila berlaku kematian, parti itu yang diberi keutamaan (letak calon)," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, persefahaman itu hanyalah untuk PRK ketika ini sekali gus mengelakkan kepincangan dalam Kerajaan Perpaduan

“PRU nanti kita belum berunding sama ada nak bersama atau berseorangan, itu terpulang ketika itu, kita akan buat penilaian sendiri, tidak adil untuk kita buat keputusan untuk PRU akan datang, kita belum tahu kerana dalam politik satu hari itu panjang, semua boleh berlaku,” katanya.

Sebelum itu, Ka Seong ketika ditemui berkata, hasrat MCA untuk tidak membantu kempen pada PRK berkenaan sekiranya calon bukan daripada BN, sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.

Beliau berkata, cadangan itu sudah dipersetujui parti berkenaan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu semalam.

Media sebelum ini melaporkan, PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 April serta pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!