Dua syarat jadi penentu

SHAH ALAM - Terdapat dua syarat utama dalam terma draf memorandum persefahaman (MoU) agihan peruntukan tahunan pembangunan kawasan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang dijangka menjadi titik fokus perundingan di antara wakil kerajaan dan delegasi blok pembangkang.

Sumber Kerajaan Perpaduan yang enggan namanya didedahkan berkata, antara syarat diunjurkan kerajaan di dalam MoU berkenaan ialah jaminan blok pembangkang supaya tidak memainkan isu 3R (agama, kaum, raja) atau melemparkan fitnah melampau terhadap kerajaan sepanjang baki penggal pentadbiran.

Sementara, katanya, syarat kedua penting ditawarkan kerajaan ialah pembangkang perlu memberi jaminan tiada sebarang usaha menjatuhkan Kerajaan Madani menerusi ‘pintu belakang’ melainkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Tawaran syarat pertama melibatkan isu 3R dan fitnah terhadap kerajaan adalah jelas dan relevan. Kerajaan Madani tidak mahu polemik perkauman, agama dan institusi diraja berterusan dijadikan alat politik oleh segelintir pihak untuk mencetuskan suasana tidak harmoni antara kaum.

“Bagi penawaran syarat kedua, jaminan pembangkang tidak akan menjatuhkan kerajaan dengan kaedah ‘tebuk atap’ sangat penting demi menjamin kestabilan ekonomi negara.

“Ini antara syarat-syarat utama yang dijangka menjadi fokus perbincangan di antara wakil kerajaan dan delegasi blok pembangkang. Cadangan syarat ini pun difahamkan masih di peringkat draf dengan ia perlu dirunding dan dipersetujui pihak pembangkang sebelum dimuktamadkan,” kata sumber berkenaan kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Beliau yang merupakan sumber terdekat parti utama dalam Kerajaan Perpaduan itu itu berkata, selain dua terma penting tersebut, turut dikemukakan ialah beberapa syarat teknikal mencakupi jumlah spesifik penerimaan peruntukan tahunan bagi setiap ahli Parlimen pembangkang serta hal-hal lain berkaitan.

Malah, beliau juga yakin pembangkang tiada masalah untuk menerima syarat-syarat MoU tersebut.

Ini kerana, katanya, kerajaan dijangka tidak akan meletakkan syarat wajib bagi blok pembangkang menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani.

“Difahamkan, syarat pembangkang tidak boleh bertindak ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada termasuklah usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen serta tindakan menolak usul di Parlimen seperti usul belanjawan yang dianggap boleh mengganggu gugat kedudukan kerajaan semasa.

“Sekiranya cadangan syarat-syarat berkenaan berjaya dipersetujui kedua-dua pihak, saya tidak menolak kemungkinan MoU itu mampu dimeterai sekurang-kurangnya selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu,” kata sumber itu lagi.

**media[2620520]**

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebelum ini sekadar mendapatkan pandangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengenai keperluan MoU yang ditawarkan kepada blok pembangkang.

“Dalam mesyuarat itu, langsung tidak dibincangkan sebarang bentuk syarat atau terma yang perlu ditawarkan kerajaan kepada pembangkang.

“Sebaliknya, kami hanya diminta memberi pandangan mengenai kewajaran penawaran MoU berkenaan, dengan setiap parti memang ada memberi komen dan kritikan masing-masing.

“Hakikatnya, kami memang diberitahu hasrat kerajaan utk melaksanakan MoU peruntukan pembangkang, tetapi maklumat terperinci mengenainya tidak dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan,” kata Menteri Kerja Raya itu.