'Saya akan beri keputusan dalam masa singkat' - Anwar

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Keputusan bagi menyelesaikan kemelut Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat diadakan pada Ahad.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketua-ketua cabang di Sabah telah memberikan pandangan dan keputusan akan dipertimbang dalam masa terdekat.

"Mereka berikan pelbagai pandangan tentang (perkara ini), saya akan beri keputusan dalam masa yang singkat setelah berunding dengan ketua-ketua cabang.

"Kita akan rujuk kepada pimpinan Pusat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan perjumpaan khas MPN Sabah di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, lazimnya seperti proses seperti di negeri lain presiden akan bawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

"Kita akan umumkan nanti tetapi prosesnya seperti kita lihat di negeri-negeri lain di Kedah, Pulau Pinang, Perlis sebelum ini.

"Mungkin kalau semua berjalan lancar, kita mungkin ada pengumuman esok," katanya.

Bagaimapun, beliau tidak dapat memastikan MPN Sabah akan mempunyai pengerusi baharu atau jawatan itu dikekalkan kepada Datuk Sangkar Rasam.

"Tak tentu (pengerusi baharu), itu terpulang kepada presiden. Tiada nama spesifik yang dibincangkan dalam mesyuarat tapi prosesnya ialah presiden perlu berbincang mengadakan konsultasi dengan semua ketua-ketua cabang jadi proses itu telah berjalan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!