Syarat penting terima peruntukan

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan propaganda politik berlandaskan perkauman dan agama dapat dihentikan jika meletakkannya sebagai salah satu daripada syarat dalam memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk pembangkang.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tindakan meletakkan syarat berkenaan juga wajar demi memastikan Malaysia dapat bergerak sebagai negara yang lebih baik demi kepentingan masyarakat.

Pembangkang perlu iktiraf usaha kerajaan dan mulakan pembaharuan pemikiran berasaskan Perlembagaan dan Rukun Negara dengan menggunakan 3R ke arah satu bentuk psikologi perang saraf yang lebih positif bagi mengangkat martabat negara yang sebenarnya.

“Hilangkan segala bentuk prasangka buruk dalam kalangan masyarakat dan hentikan serangan propaganda pembunuhan karakter terhadap kepimpinan negara.

“Peruntukan juga atas dasar kepentingan masyarakat dan bukan digunakan sebagai dana propaganda politik menyerang kerajaan yang boleh memberi tekanan kepada ketidakstabilan politik dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Sehubungan itu, satu draf MoU akan dirangka sebagai langkah perundingan seterusnya.

Sementara itu, Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berpandangan sebaliknya dan menegaskan bahawa tidak sepatutnya berlaku penetapan syarat seperti itu.

“Parti kerajaan memerintah dan mengurus tadbir negara, sementara pembangkang mainkan peranan semak dan imbang. Itu prinsip asas demokrasi.

“Tidak perlu (letak syarat) kerana membangunkan semua kawasan tugas parti pemerintah dan tidak perlu mendapat sokongan daripada pembangkang. Teruskan sahaja pembangunan semua kawasan dan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, duit yang dibelanjakan oleh pemimpin daripada parti pemerintah adalah duit rakyat dan patut dibelanjakan sama rata berasaskan keperluan dan bukan pertimbangan pilih kasih, diskriminasi dan pertimbangan politik.

“Pemimpin dan penggubal undang-undang Malaysia patut belajar daripada demokrasi matang bahawa selepas pilihan raya, kerajaan adalah kerajaan negara dan bukan kerajaan untuk sesuatu parti atau perikatan parti dan ahli mereka,” katanya.