PRK Kuala Kubu Baharu: Isham Jalil nafi calon PN, hanya pemerhati

HULU SELANGOR - Bekas Ahli Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil nafi menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Isham berkata, beliau turut menafikan berminat menjadi calon bagi kerusi tersebut yang pemilihan dijadual 11 Mei depan.

Menurutnya, isu tersebut timbul susulan fitnah dilemparkan pihak tertentu sebagai bahang kempen PRK.

Tambah Isham, beliau akan ke sana bukan sebagai calon sebaliknya bertindak sebagai pemerhati.

"Saya akan pergi PRK Kuala Kubu Baru nanti sebagai pemerhati," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu.

Dalam perkembangan semasa, Pakatan Harapan (PH) memaklumkan yang kerusi tersebut akan ditandingi calon daripada DAP sementara PN pula belum menetapkan calon daripada gabungan parti komponen di bawahnya.

Menurut Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PN akan meletakkan calon boleh menang iaitu sesiapa yang boleh melonjakkan sokongan dan membawa kemenangan parti akan mewakili PN dalam PRK.

Ujarnya, pemilihan calon tersebut tidak mewakili mana-mana parti komponen sebaliknya mewakili PN secara keseluruhan.

Sementara itu, Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PH, Ng Sze Han berkata, senarai calon mewakili PH akan dihantar ke pucuk pimpinan DAP seterusnya ke PH pusat untuk dimuktamadkan.

PRK diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!