Pengundi Tionghoa, India faktor Gerakan mahu letak calon

SHAH ALAM - Nilai peratusan pengundi masyarakat Tionghoa dan India menjadi antara faktor Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) merasakan parti itu layak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, ia berikutan demografi pengundi masyarakat Tionghoa mencatatkan jumlah sebanyak 30 peratus dan India melibatkan 18 peratus, sekali gus memberi keyakinan kepada Gerakan untuk terus bertanding.

“Mengikut apa yang pernah dilakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sebelum ini, yang bertanding ialah Gerakan.

“Sebab itu Gerakan merasakan bahawa mereka perlu terus diberi peluang meletakkan calon walaupun Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga ada menyuarakan hasrat meletakkan calon Melayu,” katanya.

Sivamurugan berkata, keputusan meletakkan calon Gerakan dalam pilihan raya itu juga bergantung kepada konsensus dalam Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mengganggu kerusi yang dipegang atau ditandingi di kawasan campuran seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pada Rabu, media melaporkan Gerakan sudah menyenarai pendek lima calon berpotensi bagi merampas kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, calon-calon yang berpotensi itu dalam kalangan penduduk tempatan dan terdiri daripada pelbagai kaum yang mampu menarik sokongan pengundi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28