PRK Kuala Kubu Baharu: PN letak calon boleh menang

HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon boleh menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sesiapa yang boleh melonjakkan sokongan dan membawa kemenangan parti akan mewakili PN dalam PRK.

Menurutnya, ada beberapa nama telah disenarai pendek dan calon akhir akan diumumkan dalam masa terdekat.

"PN tidak kurang calon-calon berpotensi dan berpengalaman yang diterima baik oleh masyarakat cuma PN mahu cari yang terbaik dalam kalangan terbaik.

"Paling penting perlu mendapatkan maklum balas daripada pengundi kerana mereka yang akan menentukan kemenangan pada 11 Mei depan," katanya pada program Jelajah Pengerusi PN ke Kuala Kubu Baharu pada Rabu.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, pemilihan calon tersebut tidak mewakili mana-mana parti komponen sebaliknya mewakili PN secara keseluruhan.

"Kawasan ini kerusi tradisi parti Gerakan yang merupakan sebahagian parti komponen PN namun PN belum putuskan calon. Dalam masa terdekat akan adakan perbincangan setelah terima maklum balas akar umbi.

"Kita akan bergerak atas tiket PN, jentera PN, gerak kerja PN dan insya-ALLAH kita menang pun atas tiket PN," katanya.

Beliau berkata, walaupun kemenangan PN di Kuala Kubu Baharu tidak mengubah kerajaan negeri, sekurang-kurangnya ia memberi isyarat kepada Putrajaya untuk tidak meremehkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

"Ini penting kerana isu kos sara hidup, bekalan beras tempatan, ekonomi yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"PN ada formula dan penyelesaian yang terbukti sewaktu diberi kuasa di peringkat Persekutuan sebelum ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!