Bukan mudah kosongkan tujuh kerusi

SHAH ALAM - Biarpun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sudah meluluskan pindaan perlembagaan, namun usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengosongkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negerinya (ADUN) milik pengkhianat parti bukannya satu perkara mudah untuk diselesaikan dalam masa terdekat.

Ini kerana tujuh kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukannya kosong secara automatik seperti didakwa Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, sebaliknya ia perlu melalui pelbagai proses termasuk pemakluman kepada Speaker Dewan Rakyat dan Yang Dipertua (YDP) DUN Selangor serta semakan kehakiman hingga diputuskan Mahkamah Persekutuan kelak.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kekosongan kerusi berkenaan bergantung kepada takrifan perundangan dan kuasa budi bicara Speaker Dewan Rakyat dan YDP DUN Selangor selepas menerima pemakluman daripada Bersatu.

Ujarnya, ini kerana keahlian sebagai ahli Parlimen dan ADUN dikatakan tergugur selepas pindaan perlembagaan Bersatu diluluskan RoS baru-baru ini, manakala tujuh wakil rakyat terbabit menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan lebih awal.

“Di situlah garis kelabu (kesamaran) yang perlu diselesaikan dari sudut perundangan dan individu yang boleh memutuskan sama ada tujuh kerusi terbabit kosong atau tidak ialah Speaker Dewan Rakyat dan YDP DUN Selangor serta Mahkamah Tinggi.

“Justeru, saya melihat proses pengosongan tujuh kerusi Parlimen dan DUN Selangor itu bukan perkara mudah dan akan mengambil masa lama kerana masing-masing mendakwa mereka berada di pihak benar,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

Beliau mengulas kenyataan Razali yang mengesahkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tergugur dan perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan perlembagaan untuk melucutkan keahlian parti bagi wakil rakyat yang menyokong pihak bertentangan dengan parti.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara ADUN daripada Bersatu pula, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tegas Sivamurugan, tujuh wakil rakyat Bersatu berkenaan enggan mengosongkan kerusi masing-masing kerana berpendapat pindaan perlembagaan parti diluluskan RoS itu tidak terpakai terhadap mereka.

“Jadi keputusan Speaker Dewan Rakyat dan YDP DUN Selangor sama ada berlaku kekosongan di enam kerusi Parlimen dan kerusi DUN berkenaan amat penting dan bakal menjadi kes duluan dan rujukan kepada ahli politik dan sistem perundangan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah pasti mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan tujuh pengkhianat parti itu mengosongkan kerusi masing-masing.

Pada masa sama, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Armada) itu tidak memandang rendah kemampuan Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk melakukan apa sahaja bagi menjaga kepentingan Kerajaan Perpaduan dan mempertahankan tujuh wakil rakyat terbabit.

“Bersatu tidak bodoh dan kita tahu ‘nyawa politik’ Anwar sebagai Perdana Menteri bergantung kepada tujuh pengkhianat Bersatu terbabit.

“Jadi, kita tidak akan mengambil mudah usaha mengosongkan kerusi terbabit biarpun RoS sudah meluluskan pindaan perlembagaan parti,” jelasnya.

Tambahnya, Bersatu tidak akan tergopoh-gopoh dan mereka akan mengumumkan tindakan seterusnya apabila tiba masa sesuai nanti.

“Kalau Anwar dan Kerajaan Madani betul-betul kuat, mereka sudah pun meminta Speaker Dewan Negara dan DUN Selangor mengumumkan kekosongan tujuh kerusi terbabit.

“Bagaimanapun, kerana Anwar tidak memiliki sokongan mutlak dan majoriti dua pertiga maka Kerajaan Perpaduan terpaksa ‘mencuri’ enam Ahli Parlimen Bersatu,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28