DAP perlu letak calon wanita pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu

SHAH ALAM - DAP perlu meletakkan calon wanita pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bagi meneruskan legasi penyandang kerusi berkenaan, mendiang Lee Kee Hiong.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, selaku Naib Ketua Wanita sudah pasti beliau berharap barisan kepimpinan tertinggi DAP dapat mempertimbangkan supaya wanita diletakkan selaku calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu nanti.

Young Syefura atau lebih mesra dengan panggilan Rara berkata, langkah itu penting untuk meningkatkan kuota penyertaan wanita dalam politik dan golongan pembuat keputusan di peringkat negeri.

“Tambahan pula DUN ini amat istimewa kerana mendiang Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu selama tiga penggal berturut-turut. Jadi kita berharap calon DAP yang bertanding dalam PRK dapat meneruskan legasi ditinggalkan mendiang.

“Kita bukan hanya mahu calon wanita namun kita mahu beliau memimpin DAP dan membuat kerja dengan lebih baik pada masa depan,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada DAP sudah menyenarai pendek nama individu yang bakal bertanding atas tiket PH pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu nanti.

Kee Hiong, 58, yang menjadi ADUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia pada 21 Mac lalu selepas bergelut melawan penyakit kanser dihadapinya sejak beberapa tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini sebagai hari pengundian, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon dan 7 Mei selaku hari undi awal.

Dalam pada itu, Young Syefura meramalkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum akan terus menjadi isu panas dan bahan kempen utama pembangkang terutama untuk meraih sokongan dan undi pengundi Melayu dalam PRK nanti.

Bagaimanapun, beliau yakin pengundi di Kuala Kubu Baharu rasional dan bijak membuat penilaian secara matang dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk perkhidmatan cemerlang sepanjang mendiang Kee Hiong menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit selama hampir tiga penggal.

Ditanya sama ada sayap Wanita DAP sudah menyerahkan senarai nama pendek nama individu yang bakal diangkat selaku calon, Young Syefura berkata, mereka belum membincangkan lagi mengenai perkara itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!