‘Harap peruntukan disalurkan dalam masa terdekat’

SHAH ALAM - Peruntukan untuk wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) diharap dapat disalurkan dalam masa terdekat kerana ia menyuburkan sistem demokrasi di negara ini.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pemberian kewangan itu juga melambangkan bahawa kerajaan berjiwa besar dalam menerima peranan dimainkan pihak pembangkang.

Menurut Ahli Parlimen Beluran itu, PN amat mengalu-alukan hasrat kerajaan yang sudi dan bersedia untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Kerajaan ini kukuh dengan dua pertiga majoriti dan ia sudah semestinya tidak akan mengubah kedudukan, tapi menyuburkan lagi sistem demokrasi.

“Kami (PN) bersedia untuk main peranan sebagai pembangkang kerana kerajaan memerlukan kami untuk proses semak dan imbang,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[2613882]**

Beliau berkata demikian mengulas laporan media bahawa tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang bakal dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Rabu depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lepas.

Sementara itu, Ronald Kiandee turut mengesyorkan peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen tak kira pembangkang ataupun kerajaan dibuat ‘secara perlembagaan’ agar menjadi kewajipan kepada pemerintah.

“Maknanya siapa saja kerajaan peruntukan termaktub kepada semua termasuk pembangkang,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!