Selepas Anwar-Najib adakah debat akan jadi budaya?

Sama ada budaya debat akan terus subur dalam persekitaran demokrasi negara kita, barangkali ia akan ditentukan oleh iklim politik pada masa tersebut.

Sebagai contoh, debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada tahun 2008 berlaku beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang menyaksikan buat kali pertama Barisan Nasional (BN) hilang lima kerusi kerajaan negeri - Selangor, Perak, Kelantan, Kedah, dan Pulau Pinang kepada pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat (PR).

Walaupun masih kekal di peringkat persekutuan, kerajaan BN yang pada waktu itu berperdana menterikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) menerima tamparan hebat akibat kehilangan lima negeri tersebut dan dinafikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Cabaran yang diterima pada ketika itu mungkin memberi sedikit ruang introspeksi kepada BN sebagai pemerintah untuk membuka peluang kepada pandangan-pandangan dari luar parti.

Sebelumnya, BN cukup dominan dalam mana-mana pilihan raya sehingga menjadikan mereka agak tertutup kepada idea selain dari kelompok mereka terutamanya dari pembangkang yang sering dianggap membawa konotasi negatif.

Walhal jemputan untuk berdebat sentiasa dibuat pembangkang kepada pihak kerajaan sebelum itu, namun barangkali ia memerlukan keputusan pilihan raya yang signifikan di pihak lawan demi membolehkan ia direalisasi.

Justeru, berlangsunglah debat 2008 melibatkan Anwar atas kapasiti sebagai Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Shabery sebagai Menteri Penerangan pada ketika itu. Tajuk yang dipilih adalah "Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak” dan disiarkan secara langsung di kaca televisyen dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Bermula dari Rafizi

Selepas detik itu, tiada lagi program debat terbuka yang signifikan melibatkan pimpinan utama kerajaan dengan pembangkang sehinggalah malam tadi apabila Anwar sekali lagi terlibat dalam acara debat, kali ini dengan bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimana debat malam tadi boleh berlangsung? Adakah tiba-tiba iklim politik negara ini mula cerah dan suasana demokrasi telah subur semula?

Jika disoroti kronologinya, ia bermula dengan cabaran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli Mac lalu kepada Najib untuk berdebat tentang kewajaran untuk menyelamatkan syarikat Sapura Energy Bhd yang berdepan krisis kewangannya.

Cadangan tersebut disambut Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil dengan cadangan lain iaitu debat itu sepatutnya berlangsung antara Najib dengan Anwar, bukan Rafizi.

Dan dipendekkan cerita, selepas beberapa ketika, akhirnya jadilah apa yang terjadi malam tadi.

Untuk rekod, sebelum ini, Najib sering mengelak apabila diajukan tawaran untuk berdebat malah pernah menyatakan bahawa “debat bukan budaya kita”.

Namun kesediaannya berdebat kali ini mungkin ada kaitan dengan faktor ‘cabaran’ yang disebut di awal tulisan ini merujuk kepada debat Anwar-Shabery pada 2008. Bahawa beliau berada pada kedudukan tidak selesa seperti semasa beliau duduk di kerusi PM dahulu.

Anjak imej ‘bossku’

Justeru, peluang yang ada perlu digunakan untuk merebut ‘centrestage’ di pentas awam yang terbuka dan disiarkan di seluruh negara di kaca televisyen walaupun bukan di saluran rasmi kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Imej ‘bossku’ yang dibina di laman maya sejak tewas PRU14 lalu perlu dianjak ke satu tahap lagi dan barangkali debat perdana di kaca tv boleh jadi platform untuk mencapai khalayak lebih luas.

Di pihak Anwar, selain diketahui kegemaran dan kehebatannya berpidato, sebagai pembangkang, peluang muncul di khalayak awam tidak sewajarnya dipersia-siakan.

Lalu untuk menyimpulkan bahawa debat sudah pun jadi budaya dalam masyarakat ini mungkin masih agak terlalu awal. Kita perlu melihat selepas ini jika ada lagi siri-siri debat antara pemimpin-pemimpin parti berlawanan untuk memastikan jika acara debat ini sudah pun diterima dan dibiasakan.

Walau bagaimanapun, acara malam tadi tetap satu momen penting dalam sejarah politik negara dan wajar diraikan.

Para pemimpin politik khususnya pemimpin muda perlu mengambil peluang ini untuk merancakkan interaksi dengan parti bertentangan dan membahaskan idea-idea berbeza demi menyuburkan budaya pembacaan dan penyelidikan.

Hanya selepas itu barulah kita boleh mengetahui sama ada debat dapat dibudayakan di negara ini atau tidak.

Anwar IbrahimMohd Najib Abdul Razak