Jangan tolak calon BN hanya kerana tiada pengalaman

LIPIS - Tindakan BN memilih bekas pesara kanan polis, Ramli Mohd Nor sebagai calon parti itu di PRK Cameron Highlands tidak sewajarnya menjadi isu berikutan calon terbabit dilihat tiada pengalaman dalam politik. 

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, faktor itu tidak boleh dijadikan penentu sama ada mereka dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, PH juga turut menampilkan ramai ahli parlimen dan menteri yang tidak berpengalaman dalam arena politik sebelum ini. 

"Faktor pengalaman tidaklah boleh diambil kira... ramai ahli Parlimen daripada PH pun tidak ada pengalaman... bahkan, dalam kalangan Menteri Kabinet yang dilantik pun sama (tidak ada pengalaman).

"Jadi, kenapa perlu timbulkan isu ini... saya yakin calon kita (BN) boleh menjalankan tugas dengan baik jika dipilih oleh pengundi di sini... buatlah pilihan dengan tepat, pastikan beliau menang bagi membawa suara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran ATM di Restoran Satay Warisan, Felda Sungai Koyan 1, hari ini.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan Pusat mengabaikan veteran ATM dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada November lalu. 

Menurutnya, tindakan tersebut juga menggambarkan ketidakprihatinan kerajaan terhadap kebajikan veteran.

"Kita (BN) sudah mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan kebajikan mereka (veteran ATM) terpelihara... banyak benda yang kita rancang seperti kemudahan kesihatan, perumahan dan kebajikan lain, namun apabila kita tewas pada PRU14 lalu, semua ini tidak dapat diteruskan.

"Mereka (PH) tidak pula menunjukkan kesungguhan untuk membela nasib golongan veteran ini... kalau (PH) kata program atau pendekatan yang kita (BN) buat selama ini tidak bagus, tunjukkanlah apa yang bagus dan boleh mereka tawarkan kepada kumpulan (veteran ATM) ini.

"Cukup-cukuplah nak berpolitik, salahkan kerajaan lama (BN)... buatlah kerja, sekarang mereka kerajaan, jangan terus cari alasan... jadi, PRK kali ini adalah peluang untuk veteran ATM bersuara dan pilihlah calon kita (BN) bagi memastikan suara serta nasib veteran ATM terus didengari di Parlimen," katanya lagi. 

Dalam waktu sama ketika ditanya pemberita kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut membantu kempen PRK Cameron Highlands bermula esok, Ahli Parlimen Sembrong itu menyifatkan ia suatu perkembangan yang positif. 

"Apa salahnya Datuk Seri Najib datang berkempen... beliau orang Pahang, pernah jadi Menteri Besar Pahang... tidak perlulah benda macam ini pun jadi isu... sepatutnya, beliau lagi awal turun membantu kempen calon BN di sini,'' katanya.

BN
ARTIKEL BERKAITAN :