Lihat konteks kenyataan Mujahid lebih dalam, kata Anwar

PORT DICKSON - Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat, bukanlah galakan maksiat berleluasa.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia perlu lihat konteks yang lebih mendalam.

"Baca kisah konteksnya, dia (Mujahid) tidak galakkan.

"Kita memang tidak galakkan perkara-perkara yang berkait maksiat...maksiat tetap maksiat," katanya selepas merasmikan Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Dun Sri Tanjung, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Semalam, dalam laporan eksklusif The Star, akhbar itu melaporkan tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Dalam temubual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

Kemudian, Mujahid menafikan laporan yang mengambarkan bahawa beliau seolah-olah membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat.

Mujahid menegaskan, kenyataannya telah disalah tafsir malah beliau menjelaskan bahawa konsep nahi mungkar tidak hanya dilaksanakan dalam bentuk penguatkuasaan semata-mata sebaliknya, menekankan pendekatan dakwah dan pendidikan keluarga sebagai salah satu bentuk tindak balas hidup masyarakat.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Kenyataan saya disalah tafsir: Mujahid ]

Dalam pada itu, Mujahid turut kecewa dengan tuduhan serta sindiran sesetengah pihak bahawa beliau membenarkan maksiat dan perbuatan khalwat malah Mujahid berkata perbuatan itu dilihat satu bentuk manipulasi terhadap kenyataannya sebelum ini.

Mujahid bagaimanapun menegaskan beliau akan menjelaskan kenyataannya berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat, Isnin ini.

 

PRK Port Dickson Negeri Sembilan