PH komited capai 70 peratus keluar mengundi

SEREMBAN - Jawatankuasa PH PRK Port Dickson sedang merangka beberapa strategi untuk memastikan pengundi luar kawasan itu pulang semasa hari mengundi 13 Oktober ini.

Pengarahnya, Aminuddin Harun berkata, pihaknya sangat komited untuk mencapai sasaran 70 peratus orang keluar mengundi pada PRK ini yang dijangka antara pilihan raya yang paling hangat dalam negara.

Menurutnya, sebanyak 35 peratus pengundi yang berdaftar tinggal di luar kawasan Port Dickson ini diharap dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Kita sedang merangka beberapa strategi dan mencari jalan bagaimana untuk menggalakkan pengundi luar kawasan pulang semasa hari mengundi nanti.

“Pelbagai cara kita fikirkan antaranya menghubungi pengundi secara terus untuk ajak keluar mengundi dan juga sedang mengkaji untuk menyediakan pengangkutan percuma kepada mana-mana individu yang ada di sekitar Seremban atau daerah lain yang memerlukan bantuan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri di sini, semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari yang mendakwa bahawa calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan duit rakyat untuk mencapai agenda peribadinya sendiri, Aminuddin berkata, Saiful bukan seorang yang layak bercakap mengenai itu.

Katanya, calon Bebas itu sendiri tidak mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin malah diangkat sebagai ketua kampung juga dia tidak layak.

Pakatan Harapan