Balu Allahyarham Abu Bakar ziarah pusara sebelum mengundi

PEKAN - Balu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, Datin Seri Razana Fatin Abdullah@Razali, 46, menziarahi pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Chini di sini pagi tadi sebelum mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pagi tadi.

Menurutnya, sebelum bergerak ke Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 untuk mengundi, beliau menziarahi kubur suaminya kira-kira jam 8 pagi.

"Hari ini genap hari ke 60 hari arwah pergi. Saya ada ke kuburnya pagi tadi. Selepas berdoa, baca Yasin serta tahlil dalam jam 11 lebih baru saya ke PDM.

"Alhamdulillah perjalanan mengundi lancar dengan segala garis panduan dapat dipatuhi dengan baik ketika kita melaluinya dalam suasana Covid-19 ini.

"Selepas ini insya-ALLAH saya akan mengunjungi ke rumah kawan-kawan saya dan arwah di sini dahulu sebelum balik Kuantan," katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 di sini hari ini.

Razana selesai melaksanakan tanggungjawab mengundi di saluran tiga di Dewan Semai Bakti Felda Chini 3 di sini pada jam 11.40 pagi tadi.

Beliau berkata, suasana PRK mengingatkannya kenangan bersama Allahyarham suami yang mesra disapa Datuk Burn ketika sama-sama keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Teringat dulu, kalau nak keluar mengundi arwah dan saya akan keluar awal.

"Kami antara yang awal buang undi setiap kali pilihan raya kerana selepas itu arwah akan menyantuni penduduk Chini," katanya.

Allahyarham Abu Bakar meninggal dunia pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur kerana sakit jantung.

Allahyarham, yang juga peneroka Felda Chini mula bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini sejak PRU11 pada tahun 2004 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda pada 2013 hingga 2018.

Allahyarham memiliki kelulusan Sijil Perakaunan dari Maktab Kerjasama Malaysia pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan.

PRK Chini