Peluang BN kini capai 60 peratus: Zakaria

SEMENYIH - Calon BN Zakaria Hanafi berkata, peluang beliau untuk memenangi PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini melebihi calon lain.

Katanya, ini berdasarkan momentum kerja jentera BN, selain kerjasama erat Pas terhadap gerak kerja kempennya.

"Pas nampak ikhlas membantu kita menerusi perancangan-perancangan mereka.

"Kita ada empat hari lagi menjelang hari pengundian dan peluang kini saya lihat untuk BN adalah 60 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama veteran-veteran Melayu di Dewan Sri Cempaka, Dataran Dato' Mohd. Said di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas proses pengundian awal yang berlangsung esok, Zakaria berharap anggota polis yang terlibat dapat membuat pilihan yang tepat.

"Saranan saya supaya mereka melaksanakan tanggungjawab dan  buat pilihan tepat, jika saya tentulah berharap mereka mengundi BN.

"Beri kepercayaan kepada kami untuk mengubah semula keadaan, supaya pembangkang dapat suara tembahan di DUN Selangor dan say berjanji untuk menjadi pembangkang yang berwibawa," katanya.

Kempen PRK DUN Semenyih memasuki fasa terakhir, hanya  berbaki empat hari lagi menjelang tarikh pengundian,  pada 2 Mac ini,  semua calon kini semakin agresif memujuk pengundi agar memberi undi kepada mereka.

Selain Zakaria calon lain yang bertanding dalam pertembungan 4 penjuru itu ialah Aiman Zainali dari Bersatu,  Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang”.

Zakaria HanafiPRK Semenyih