PH perlu jelas manifesto belum tertunai

SEMENYIH - Kalangan pemerhati politik berpendapat kejayaan Kerajaan PH untuk mengekalkan kerusinya pada Pilihan Raya Kecil Negeri Semenyih 2 Mac depan banyak bergantung pada kemampuannya menerangkan dengan jelas dan meyakinkan tentang janji-janji manifesto PRU14 yang belum tertunai setakat ini.

Penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali berpandangan, sentimen semasa seperti janji-janji manifesto yang belum ditunaikan memberi kesan signifikan kepada calon PH dalam mengekalkan kerusi DUN berkenaan, jika ia tidak diterangkan secara jelas kepada pengundi.

Sehubungan itu, katanya, usaha PH meletakkan calon muda harus dipuji kerana ia dapat mengadun idea yang lebih segar bagi pembangunan Semenyih secara lestari, selaras dengan janji manifesto.

"PH meletakkan anak muda merupakan komitmen berterusan mereka untuk melakukan perubahan dalam pemerintahan dan politik Malaysia dan ia berkesan pada pilihan raya umum lalu," kata pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara kampus Raub, Pahang itu.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kemenangan calon PH Muhammad Aiman Zainali antaranya bergantung pada kebolehan beliau menjawab isu berbangkit dan mengetengahkan strategi dalam membantu masyarakat dan membangunkan Semenyih.

"Kelebihan kepada beliau, dan beliau boleh ketengahkan pelbagai inisiatif diambil kerajaan negeri Selangor yang berada di bawah pentadbiran PH dalam membantu rakyat seperti bantuan kepada ibu tunggal dan air percuma," katanya.

Beliau berkata sebagai anak muda, Muhammad Aiman turut mempunyai kelebihan dalam bidang media sosial bagi mendekatkan diri kepada pengundi.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata Muhammad Aiman dan jentera PH juga perlu bijak menangani isu yang menyentuh kepentingan orang  Melayu di kawasan DUN yang mempunyai 69 peratus penduduk dari kaum itu.

Secara logiknya, beliau yang berada di bawah satu bumbung dengan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan yang dikuasai PH, berada pada kedudukan lebih dekat untuk menyampaikan hasrat dan suara penduduk dalam pelbagai isu. Ini satu kelebihan.

Muhammad Aiman disaingi tiga lagi calon iaitu Zakaria Hanafi, 58, seorang ahli politik yang lebih berpengalaman mewakili Barisan Nasional (BN); Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM); dan seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, calon Bebas.

Bagaimanapun, kelebihan itu bukanlah jaminan laluan mudah kerana Muhammad Aiman yang baru berusia 30 tahun perlu menyakinkan 54,503 pengundi di DUN Semenyih bahawa beliau mampu mengangkat aspirasi masyarakat.  

Rata-rata penduduk di kawasan DUN Semenyih yang ditemui tidak mementingkan usia bakal wakil rakyat mereka, namun mahu seorang individu yang komited dan bertanggungjawab meneruskan pembangunan Semenyih serta menangani pelbagai masalah hasil kepesatan pembangunan itu.

Seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Vicky, 23, berkata walaupun pemimpin muda dilihat lebih diperlukan tetapi apa yang penting, wakil rakyat kawasan itu dapat menangani beberapa isu seperti pengangkutan awam serta menambah peluang pekerjaan khususnya di kalangan anak muda.

"Wakil rakyat muda (mungkin difikirkan) lebih bagus kerana dia tahu masalah orang muda di kawasan ini," kata pekerja hotel dari Bandar Rinching itu di sini.

Pekerja swasta, Siti Nurnabila Ramlan, 23, pula berkata wakil rakyat kawasan itu perlu berusaha meluaskan potensi Semenyih sebagai kawasan pelancongan yang menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus meningkatkan limpahan ekonomi kepada penduduk khususnya golongan muda.

Katanya Bukit Broga dekat sini yang menjadi tumpuan pendaki boleh dipromosikan sebagai kawasan pelancongan bagi menarik pelancong asing.

Perkara itu turut dikongsi seorang peniaga pasar pekan Semenyih yang hanya mahu dikenali sebagai Zeti, 36, yang menyatakan kedatangan lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara mampu menjana lebih pendapatan kepada para peniaga di Semenyih.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sungai Purun di sini, dikenali sebagai Shina, 52, berkata beliau mahukan wakil rakyat yang menjaga kebajikan dan membela nasib orang Melayu, demi masa  depan anak cucunya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PH komited dalam  meneruskan agenda pembangunan di Semenyih dan mengatasi pelbagai masalah berbangkit seperti pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas. - Bernama

PRK Semenyih