Ambil tindakan tegas kes salah guna kenderaan kerajaan

KUANTAN – Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang menuntut penjelasan kepada umum berhubung penggunaan kenderaan rasmi milik kerajaan yang telah digunakan sebuah parti politik untuk menjalankan kempen calon pada PRK Parlimen Cameron Highlands, semalam.

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan kenderaan kerajaan khususnya untuk berkempan.

“Kita tidak setuju dengan tindakan itu dan mohon penjelasan daripada pihak terbabit bagaimanakah hal sebegini boleh berlaku.

“Perkara ini sedikit sebanyak mencalar kredibiliti pemimpin yang dipilih untuk menerajui negara. Jika aktiviti kempen berlaku sedemikian dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu klik video tular berkenaan penyalahgunaan kenderaan kerajaan untuk kempen khusus PH.

Dalam klip rakaman berdurasi lima minit sembilan saat itu tersebar memaparkan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersemuka dengan Ketua Penerangan Umno Bahagian Rompin, Datuk Maznah Mazlan dengan beberapa individu lain daripada kedua-dua parti BN dan PH.

Menyentuh mengenai isu terbabit, Wan Emril Nizam mempersoalkan tindakan berbabit dan mengatakan, jika benar surat arahan telah dikeluarkan daripada Pejabat Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli bagi menggunakan atas kapasitinya, adakah patut bendera PH digantung dan dipandu oleh orang yang berkemungkinan bukan pemandu kenderaan kerajaan?

“Bagaimana pula jika berlaku sebarang kerosakan, tuntutan minyak dan lain-lain musibah yang barangkali berlaku?

“Adakah duit rakyat yang membayar cukai untuk kegunaan kerajaan memelihara dan memulihara hutan akan digunakan bagi tujuan pembaikan?” katanya.

Beliau menjelaskan, kecelaruan tindakan dengan membenarkan penggunaan kenderaan kerajaan bagi tujuan tersebut memperlihatkan kelemahan integriti pegawai lantikan kerajaan dalam mengurus tadbir aset yang diletakkan di bawah seliaan mereka.

Katanya, jelas menunjukkan penyelewengan dan salah guna kuasa pegawai kerajaan yang wajar dijatuhkan hukuman tatatertib ke atas mereka.

PRK Cameron Highlands
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :