Perkasa mahu Jabatan Perhutanan Pahang buat penjelasan

SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang membuat penjelasan berhubung penggunaan aset kerajaan dalam PRK Cameron Highlands. 

Ketua Penerangan Perkasa, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, kebenaran yang diberikan untuk membenarkan penggunaan aset kerajaan disifatkan sebagai satu kecelaruan dalam sistem pentadbiran negara yang tidak sepatutnya dicampur aduk antara aktiviti politik dengan tugas-tugas kerajaan.

"Kecelaruan tindakan dengan membenarkan penggunaan kenderaan kerajaan dalam PRK memperlihatkan kelemahan integriti pegawai lantikan kerajaan dalam mengurus tadbir aset yang diletakkan di bawah seliaan mereka. 

"Ia juga jelas menunjukkan penyelewengan dan salah guna kuasa pegawai kerajaan yang wajar dijatuhkan hukuman tatatertib ke atas mereka," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Kelmarin tular gambar di media sosial menunjukkan jentera PH menggunakan kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perhutanan negeri Pahang.

Gambar tersebut menunjukkan beberapa kenderaan pacuan 4 roda yang mempunyai logo JAKOA, manakala sebuah lagi milik Jabatan Hutan negeri dibaluti dengan bendera PH.

Nasrul Ali Hasan berkata, banyak persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan berhubung perkara tersebut kerana sebelum ini mereka begitu lantang mengatakan tidak akan akan menggunakan aset kerajaan.

"Persoalannya, bagaimana Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang begitu mudah berikan aset ini? Adakah beliau ditekan oleh pihak tertentu agar membenarkannya? Sekiranya benar surat arahan telah dikeluarkan daripada Pejabat Timbalan Menteri Sumber Asli bagi menggunakan atas kapasiti beliau, adakah patut bendera PH digantung dan dipandu oleh orang yang berkemungkinan bukan pemandu kenderaan kerajaan? 

"Bagaimana pula jika berlaku sebarang kerosakan, tuntutan minyak dan lain-lain musibah yang barangkali berlaku? Adakah bahagian hasil duit rakyat yang membayar cukai bagi kegunaan kerajaan memelihara dan memulihara hutan akan digunakan bagi tujuan penyelengaraan atau pembaikan? Atau parti PH akan bertanggungjawab membayar ganti rugi?" soal beliau

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara tersebut sedikit sebanyak telah mencalar kredibiliti pemimpin-pemimpin yang diharapkan untuk menerajui negara.

PRK Cameron Highlands.
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :