1MDB: DAP dakwa Ramli tak buat apa-apa

CAMERON HIGHLANDS - DAP mendakwa calon BN, Ramli Mohd Nor hanya berpeluk tubuh terhadap skandal 1MDB semasa menjadi pegawai polis dalam pemerintahan BN.

Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkata kini Ramli bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah didakwa di mahkamah berhubung skandal tersebut.

"Di Malaysia ada satu jenayah komersial yang paling terkenal di seluruh dunia, skandal 1MDB. Kita semua kenal penaja skandal ini, tidak lain PM yang lalu, Najib. Beliau juga sudah didakwa di mahkamah. 

"Semasa bertugas sebagai pegawai polis ketika pentadbiran BN beliau tidak buat apa-apa pun untuk membongkar, menyiasat dan menyelesikan masalah 1MDB serta menangkap penjenayah terlibat.

"Sekarang pula dia duduk bersekongkol dengan Najib sendiri," katanya pada sidang media di Brinchang, hari ini.

Sehubungan itu, Tony mempertikaikan etika dan integriti Ramli.

"Apakah contoh yang nak disampaikan kepada masyarakat Malaysia? Bahawa penjenayah masih jadi pemimpin saya?

"Beliau (Ramli) ikut ke mana saja Najib pergi, Najib jadi hero, duduk dengn Najib, adakah seseorang seperti itu sesuai jadi wakil rakyat di Malaysia?

"Di manakah etikanya, integritinya? Kita harap masyarakat di CH boleh lihat dengan jelas. Beliau berkempen dan sanggup dipimpin oleh kleptokrat yang paling besar di dunia, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan PH pilihan terbaik demi pembangunan di negara ini.

"Kalau kita nak sebuah negara yang bersih, negara yang lestari, dana mencukupi untuk pembangunan orang kampung, ekonomi lebih baik untuk Orang Asli, pilih Najib atau PH, saya rasa jawapannya cukup jelas," katanya.

(PRK) Parlimen Cameron Highlands
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :