Bawah BN, jalan ke kampung Orang Asli pun rosak

CAMERON HIGHLANDS - Laluan masuk ke perkampungan Orang Asli masih rosak ketika di bawah pemerintahan BN.

Pemimpin DAP, Tony Pua berkata PH memerlukan tempoh untuk memperbaiki dan membangunkan kawasan luar bandar.

"Selalu kita lihat bawah kerajaan BN, kita tengok kampung Orang Asli, di kampung-kampung jalan pun rosak, banyak perkara tidak buat.

"Kita sudah ambil alih. Tentulah kita tak boleh pulihkan semua infrastruktur dalam tempoh beberapa bulan tetapi dengan penjimatan yang sedang dilaksanakan, bulan-bulan dan tahun mendatang kita akan mempunyai dana yang mencukupi untuk memperbaiki dan membangun kawasan-kawasan ini," katanya pada sidang media di Brinchang, hari ini.

Menurutnya, PH telah memperuntukkan dana untuk pembangunan di luar bandar dan Felda dalam belanjawan tahun ini.

"Ini adalah bukti bahawa sebuah kerajaan PH jauh lebih baik, berpotensi untuk membangun kawasan-kawasan luar bandar berbanding kerajaaan BN.

"Kita sudah mula dengan bajet di mana peruntukan cukup besar di kawasan luar bandar untuk menjamin pembangunan yang lestari," katanya.

Beliau sempat menyentuh tanggapan umum berhubung pengurangan kos-kos projek seperti MRT2 dan LRT3 tiada kaitan dengan pembangunan luar bandar.

"Ini tanggapan tidak tepat kerana kalau kita tak kurangkan kos projek-projek ini, yang mungkin tidak membawa sebarang kesan ekonomi positif atau diteruskan dengan kos terlampau tinggi, wang ini akan menjadi hutang kepada negara.

"Kita akan cukup wang untuk pembangunan luar bandar," katanya.

PRK Cameron Highlands
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :