Kesesakan bukan halangan melancong ke Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS - Sejak dulu kawasan percutian popular Cameron Highlands menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Malah kesesakan melampau di kawasan ini memang tidak asing lagi hinggakan jarak yang singkat boleh memakan masa sehingga lebih sejam.

Trafik minggu ini nampaknya semakin berganda berbanding minggu lalu ketika penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Namun tinjauan Sinar Harian mendapati suasana itu tidak menghalang pengunjung untuk menikmati percutian suhu rendah bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang.

Rata-rata memaklumkan mereka sudah merancang lebih awal sebelum pengumuman tarikh PRK dibuat.

Bagi Asriq Jalaludin, 29 dari Kuala Lumpur, masalah kesesakan di Cameron Highlands bukan perkara asing.

"Memang kita tahu Cameron Highlands ini sentiasa sibuk lebih-lebih lagi hujung minggu. Macam sebelum ini kami sudah cuba elak cuti sekolah sebab itu pilih Januari tapi tiba-tiba ada PRK pula tapi kami teruskan juga.

"Lagipun kawasan Cameron Highlands ini memang tumpuan percutian. Saya agak terkejut juga mula-mula sebab keadaan trafik tidaklah terlalu sesak macam sebelum ini.

"Mungkin sebab orang lain elak datang sini, kami dapat lebih santai. Sebab kami pernah sangkut sesak yang lebih teruk dari ini. Kali ini kami datang dekorasi lebih banyak bendera dan kain rentang pula," katanya kepada Sinar Harian.

Hisnizam Mohd dari Negeri Sembilan yang turut merancang lebih awal akui suasana kunjungan ke Cameron Highlands kali ini sedikit berbeza.

"Kami tak tahu pun pilihan raya terkena tarikh percutian kami. Apabila dah sampai baru tahu.

"Memang ada lain sedikit suasana sebab kempen. Nak naik memang ada sangkut sesak juga," katanya.

Bagi tiga sekawan dari Teluk Panglima Garang, Selangor, Nur Farhana Mohd Ali, 24; Siti Syahira Mohd Yusuf, 26, dan Siti Fatimah Jamian, 26, kesesakan tidak menghalang percutian mereka.

"Masa kami rancang memang tak tahu ada PRK. Kami tahu lepas tempah bilik, mereka yang maklumkan.

"Tapi kami pergi saja mana tempat yang kami dah rancang itu lagipun memang tahu Cameron Highlands sesak tapi masih ok," katanya.

Bagi Au Yong, 31 dari Kuala Lumpur meskipun menyedari kesesakan tersebut namun perancangan tetap diteruskan.

"Kami dah rancang sebulan lepas tapi minggu lepas saya baru tahu ada PRK. Memang kita takut sesak tapi sebab dah rancang awal, jadi kami pergi juga.

"Selepas Brinchang naik ke Tanah Rata memang sesak lebih kurang sejam juga," katanya.

Dua rakan dari Kuala Lumpur, Fadilah Faris, 29 dan Arina Arifin, 28 turut mengalami pengalaman sama.

"Kami tahu ada pilihan raya tapi kami tak tahu bila tarikh sebenar. Kebetulan tarikh kami pilih sama dengan tempoh kempen pula.

"Memang sesak dari Brinchang ke Tanah Rata. Kami nampk banyak kereta bawa bendera," katanya.

Pertambahan trafik semakin jelas hari ini dari Kuala Terla ke Ringlet berbanding minggu lalu dan kelihatan anggota polis membantu mengawal lalu lintas di beberapa titik sesak melampau terutamanya di kawasan Tanah Rata.

PRK Cameron Highlands
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :