PH ingatkan pemimpin patuhi etika berkempen

PORT DICKSON - PH akan memastikan pemimpin parti itu yang turun berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK Parlimen Port Dickson tidak melakukan serangan peribadi terhadap mana-mana calon yang bertanding.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, semua pemimpin PH juga diingatkan supaya mematuhi etika itu yang ditekankan pucuk pimpinan parti dan tidak menggunakan jentera atau program kerajaan.

“Anwar sebelum ini sudah memberitahu bahawa serangan peribadi tidak akan dijadikan modal dalam kempennya dan sebab itu kita akan pastikan semua yang turun berkempen diberikan peringatan tentang tata etika,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin PH yang dikatakan ‘menyerang’ calon lain ketika berceramah pada satu majlis Isnin lalu,

pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH PRK Port Dickson di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi mengingatkan pengundi supaya berwaspada dengan sebarang serangan peribadi atau fitnah yang tersebar di media sosial terhadap Anwar.

“Saya menjangkakan perkara itu akan berlaku kerana musuh politik Anwar akan cuba menimbulkan persepsi tidak baik rakyat terhadap Presiden PKR itu.

“Serangan tidak masuk akal ini perlu dihentikan, marilah kita berdebat untuk membangunkan Port Dickson dan gunakan hujah-hujah yang boleh mengangkat wacana dalam perbincangan, bukan menggunakan serangan peribadi,” katanya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lalu, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan dari Pas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.

Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina dan 22 peratus pengundi India - Bernama

Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :