'PRK bukan satu pembaziran'

PORT DICKSON - PH membidas dakwaan RM3.6 juta yang dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRK Port Dickson adalah satu pembaziran.

Pengarah Komunikasi PKR,  Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil  berkata, PRK  yang dijalankan ini adalah satu bentuk demokrasi, bukannya membazir, tetapi ia sebahagian proses pilihan raya negara.

"Niat dan motif melaksanakan PRK ini ialah untuk kesinambungan kepimpinan kerajaan PH dan selaras dengan pemeteraian perjanjian politik PH pada 6 Januari lalu untuk menyediakan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.

Mungkin beliau (Saiful Bukhari) mempunyai pandangan tersendiri," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan yang berasa malu kerana pesaingnya dalam PRK, Anwar menggunakan duit rakyat untuk mengangkat agenda peribadi.

'Serangan' Saiful itu turut mempersoalkan sama ada Anwar mempunyai maruah kerana memutuskan untuk bertanding di Port Dickson.

Menurut Fahmi, rakyat di negara ini mempunyai hak mengambil bahagian dalam proses pilihan raya.

[ ARTIKEL BERKAITAN : ‘Serangan’ pertama Saiful kepada Anwar ]

PRK Port Dickson diadakan selepas bekas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen bagi memberi laluan kepada Anwar yang juga merupakan Presiden PKR, bertanding di situ.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fahmi turut meyakini kesihatan Anwar berada dalam keadaan baik sepanjang kempen berjalan.

"Dia manusia bionik yang memiliki bahu sekuat titanium.

"Saya difahamkan pagi ini dia bersenam di pantai Port Dickson... dan saya lihat beliau lebih bersemangat tinggi jumpa pengundi. Dari segi kesihatan tidak ada masalah," katanya.

Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :