PORT DICKSON - PH akan memastikan kempennya tidak melakukan sebarang bentuk serangan peribadi terhadap mana-mana calon yang bertanding pada PRK Port Dickson.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata PH akan memberi peringatan kepada semua pemimpin supaya mematuhi etika sepanjang proses berkempen.
Menurutnya, calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah memberitahu bahawa serangan peribadi tidak akan dijadikan modal dalam berkempen.
"Sebab itu kita akan pastikan semua yang turun berkempen akan diberikan peringatan tentang tata etika.
"Malah, Anwar juga sudah memberi jaminan tidak akan menggunakan jentera kerajaan sepanjang tempoh berkempennya,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.
Turut hadir, bekas ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Tambah Ahmad Fahmi, beliau mengingatkan pengundi supaya berwaspada dengan sebarang serangan peribadi atau fitnah yang tersebar di media sosial terhadap Anwar dan gunakanlah hujah yang berasas dalam membawa perubahan kepada penduduk Port Dickson.
“Pengundi Port Dickson harus waspada dengan serangan seperti ini kerana lebih banyak fitnah yang akan tersebar sepanjang PRK kali ini,” katanya.
Seramai tujuh calon menawarkan diri bertanding dalam PRK itu termasuklah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.