Sia-sia sahaja saman mereka

SHAH ALAM - Tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadap ahli Parlimen yang meninggalkan Umno dianggap sebagai tindakan sia-sia oleh bekas ahli majlis tertinggi parti berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang merupakan seorang peguam berkata, biarpun ada perjanjian kesetiaan terhadap parti tetapi ia tidak boleh dikuatkuasakan sekiranya dibawa ke mahkamah.

Katanya, situasi sama pernah berlaku dalam parti sebelum ini dan keputusan mahkamah tidak memihak kepada Umno.

“Sia-sia sahaja. Pasti kes akan ditendang oleh mahkamah seperti pernah berlaku di masa lalu.

“Saya sebagai seorang peguam saya tidak nampak bagaimana parti boleh saman,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: MP Umno keluar parti, bakal diseret ke mahkamah]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah ambil tindakan kes keluar parti]

Mengulas lanjut,  Nazri berkata, tindakan ahli Parlimen dari Umno yang keluar parti itu tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana hak kebebasan untuk berpersatuan.

“Ini adalah soal hak asasi yang dijamin Perlembagaan iaitu kebebasan berpersatuan. Sekalipun ada perjanjian ianya tidak boleh diperkuatkuasakan.

“Sebab itu kita lihat di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan lain-lain negara tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli politik yang keluar parti,” katanya.

Mohamed Nazri Abdul AzizUmno