'Peratusan undi rendah sebab protes PH'

KUALA LUMPUR - Pas menghormati keputusan dibuat rakyat di Dun Seri Setia dalam PRK yang berlangsung hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan PRK itu tadi merupakan isyarat awal perubahan rakyat terhadap perjuangan parti Islam itu.

"Pas menghormati keputusan rakyat dalam PRK Seri Setia dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi atas kepercayaan yang diberikan.

"PRK Seri Setia menunjukkan isyarat awal perubahan sokongan rakyat terhadap perjuangan Pas. Peratusan keluar mengundi yang rendah juga merupakan petanda undi protes terhadap kerajaan PH," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Calon PH, Halimey Abu Bakar memenangi kerusi Dun Seri Setia memperoleh 13,275 undi menewaskan calon Pas, Dr Halimah Ali yang mendapat 9,698 undi.

Dalam pada itu, menurut Abdul Hadi, Pas komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

"Kita juga bersedia menjadi pembangkang yang menasihat dan bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada para petugas Pas, rakan-rakan pembangkang dari Umno dan MIC, juga pasukan keselamatan dan pengamal media serta semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama dengan baik," katanya.

Abdul Hadi Awang