Orang Cina benci ditipu: Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Manifesto PH adalah perkara serius yang bakal menjadi indikator sokongan orang Cina kepada kerajaan pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berdasarkan hati budi kaum Cina yang tidak suka pembohongan dan memegang teras kesetiaan.

"Secara keseluruhan Pas belum jelas akan sokongan pengundi Cina namun berdasarkan indikator janji PH, saya yakin mereka (orang Cina) ambil serius.

"Orang Cina tak boleh terima apabila pemimpin berbohong dengan pelbagai helah dan janji manifesto tidak ditunaikan," katanya dalam sidang media PRK Seri Setia diadakan di Pejabat Perhubungan Pas Selangor, hari ini.

Katanya, Pas mengharapkan sokongan MCA dalam membantu kempen PRK Seri Setia.

"Pas mengalu-alukan kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan Umno untuk membantu perjalanan kempen.

"Begitu juga dengan MCA namun Pas memahami situasi parti itu yang sedang fokus membantu calon mereka di Balakong," katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Kong Tuck Wah meminta pengundi Cina matang dalam membuat pilihan dan memilih calon yang mampu membuat kerja.

"Orang Cina memberi peluang kepada PH sebab kerajaan PH masih muda tapi selepas satu atau dua tahun nanti baru mereka akan rasa sakit kerana janji PH tidak ditunaikan.

"Saya harap orang Cina tidak menggunakan satu telinga saja, dengar juga cakap pembangkang bukan hanya cakap kerajaan saja.. Selepas itu tapis dan nilaikan mana betul," katanya.

Sinar Harian melaporkan calon Pas PRK Seri Setia, Dr Halimah Ali mengakui kesukaran menarik sokongan pengundi Cina yang masih tertarik dengan propaganda dibawa PH.

Tuan Ibrahim Tuan Man