Mampukah Rafizi ‘selamatkan’ PKR?

Selesai program debat antara dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan Rafizi Ramli semalam, persoalan ‘khemah besar’ yang sebahagiannya mungkin sudah difahami rakyat, jadi semakin jelas.

Bagi sebahagian penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang memenangkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) empat tahun lalu, kejatuhan kerajaan pilihan mereka lewat peristiwa Langkah Sheraton pada 2020 mungkin telah memakan emosi dan keghairahan mereka dalam siasah sehingga tumbuh dalam diri kelesuan politik seperti yang disebut Rafizi dalam pembentangannya.

Kekecewaan akibat pengkhianatan beberapa ahli parlimen itu tidak dirawat malah diburukkan lagi oleh sikap sesetengah pimpinan PH sendiri yang mahu menggunakan pendekatan serupa oleh musuh mereka - melompat parti untuk merebut semula kedudukan, namun dimurnikan dengan diberi nama baru yang muluk; ‘katak berprinsip’ dan sebagainya.

Penerimaan empat ADUN kerajaan negeri oleh PH Melaka pimpinan Adly Zahari dengan cita-cita merebut kembali tampuk pemerintahan adalah kesilapan awal gabungan ini yang berubah menjadi fatal apabila kesan sebaliknya berlaku - takhta kerajaan negeri yang dikejar tak dapat, kerusi-kerusi DUN yang dikendong berciciran.

Lebih buruk, kes Melaka jadi inspirasi kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mencetus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor (yang juga kemudiannya dimenangi mereka cukup bergaya) sebelum berterusan mendesak PRU15 diadakan seawal mungkin.

 

Katak berprinsip

‘Katak berprinsip’ dan sebagainya menambah rasa mual rakyat - kepada PH dan kepada siasah negara secara keseluruhan lalu rasa itu diterjemahkan kepada dua cara; pertama, tidak memberi undi kepada PH sebaliknya kepada Perikatan Nasional (PN) dalam siri PRN yang berlangsung setahun-dua ini, dan kedua, dengan tidak keluar mengundi langsung.

Di pihak PH, kekecewaan rakyat ini tidak dapat mereka rasai, barangkali akibat sudah terpisah dari denyut nadi rakyat kerana mereka sendiri berasa kecewa dengan pengkhianatan yang berlaku, selain kegagalan keluar dari kekalahan demi kekalahan.

Pada sisi lain, mereka ketiadaan cara atau kreativiti untuk mengumpul semula kekuatan selain idea menggabungkan parti-parti bukan BN walaupun terpaksa memeluk semula pihak yang telah mengkhianati mereka sebelum ini dalam PN. Empat kekalahan berturut-turut dalam PRN seakan-akan menjustifikasikan idea kerjasama rentas parti ini.

Pada saat inilah Rafizi muncul mengingatkan bahawa ini bukan caranya. Dengan data dan peratus yang dicerapnya, beliau mengatakan bahawa kunci kejayaan bukan dengan mengumpul parti sebaliknya mengumpul undi dari para pengundi atas pagar yang beralih sokongan daripada PH kepada PN sementara undi BN tidak meningkat sebaliknya kekal 40 peratus daripada keseluruhan pengundi.

PKR katanya, harus kembali meraih semula kepercayaan rakyat dengan menawarkan penyelesaian kepada isu-isu nasional seperti kenaikan harga barang, krisis bekalan makanan, kelemahan nilai ringgit, dan lain-lain.

 

Kembalikan keghairahan

Dengan mendapatkan semula kira-kira 5 ke 10 peratus undi pengundi atas pagar dan pengundi tegar PH yang tidak keluar mengundi dalam PRN-PRN lalu, PH ada peluang menang dalam PRU15 atau sekurang-kurangnya menidakkan majoriti sebesar dua pertiga BN.

Berbekal hujah ini, beliau menggerakkan kempen Timbalan Presidennya dalam PKR serentak dengan gagasan Ayuh Malaysia yang punya sasaran lebih besar iaitu PRU15.

Idea ini dilihat lebih ampuh daripada mengumpul kawanan baru lewat agenda ‘khemah besar’ yang mengongkong pemikiran pimpinan PH sejak sekian lama.

Sekira-kira ‘keghairahan’ rakyat yang disebut Rafizi dalam debat semalam mampu dipulihkan dengan idea ini, kalau pun tidak sehebat pra-PRU14 lalu, sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan partinya dan PH daripada terus lemas dalam kelesuan idea atau terpisah dari realiti kehidupan rakyat di negara ini.

Namun secara praktiknya adakah ia dapat dilaksanakan Rafizi dan pasukannya dalam parti? Jawapannya terletak di tangan kira-kira 1.2 juta ahli PKR yang akan memilih calon mereka bermula esok.

Mohd Rafizi Ramli