Parti Keadilan Rakyat (PKR) barangkali adalah parti yang kalah teruk dalam empat pilihan raya negeri (PRN) sejak 2020 lalu di Sabah, Melaka, Sarawak, dan Johor tapi pada masa ini, disebabkan parti itu sedang dalam proses memilih barisan kepimpinan mereka menjelang kongresnya hujung bulan depan, maka lensa media seluruh negara kini seperti tertumpu kepada parti tersebut.
Proses pemilihan yang berlangsung lama – sejak awal bulan lalu bermula penamaan calon melibatkan peringkat cabang dan pusat, penyenaraian nama calon kepada pengundi, tempoh bantahan, rayuan, senarai akhir calon sehinggalah hari pengundian sebenar yang bakal memakan masa berhari-hari adalah antara keunikan parti ini yang memberi peluang kepada semua ahlinya untuk mengundi calon-calon ketua pilihan mereka.
Situasi ini berbeza daripada proses pemilihan tampuk pimpinan parti-parti lain yang antaranya hanya mengizinkan para perwakilan parti dari cawangan-cawangan untuk memilih barisan kepimpinan tertinggi, atau menyerahkan keputusan melantik jawatankuasa tertinggi secara terpisah kepada sekelompok pimpinan yang dipilih lebih awal secara pengundian.
Disebabkan panjangnya proses yang berlaku dalam pemilihan PKR ini – kira-kira tiga bulan lamanya, ia mencipta satu ‘musim’ pemilihan di mana rakyat dapat memerhatikan perkembangannya secara dekat manakala media berpeluang membuat liputan acara-acara yang berlangsung di dalamnya sama ada proses-proses teknikal yang terlibat, kempen calon, malah ‘gosip-gosip’ yang timbul daripadanya.
Daripada sekian banyak proses ini, yang paling menarik perhatian tentunya persaingan merebut kerusi Timbalan Presiden melibatkan bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang juga bekas calon jawatan sama dalam pemilihan parti yang lalu, berdepan ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Persaingan dua calon ‘heavyweight’ parti itu menampilkan dua idea politik berbeza yang mereka bawa; Rafizi dengan gagasan Ayuh Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengundi atas pagar, manakala Saifuddin dengan idea ‘khemah besar’ yang mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana parti politik menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
‘Perang’ selepas ‘comeback’
Rafizi, sejak awal ‘comeback’nya lagi Mac lalu sejurus kekalahan besar PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor telah mengumumkan penolakannya terhadap idea bergabung semula dengan pihak-pihak yang meninggalkan PH dalam peristiwa Langkah Sheraton pada 2020 iaitu Bersatu, dan kumpulan Azmin Ali yang kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain.
Beliau malah menggunakan istilah ‘perang’ demi menunjukkan kesediaannya berdepan pertembungan banyak penjuru dengan banyak parti termasuk PN dalam PRU-15 akan datang dengan keazaman merebut semula undi dari parti tersebut.
Manakala lawannya, Saifuddin walaupun mengeluarkan kenyataan bahawa ‘perang’ atau ‘runding’ bukan ditentukan mana-mana calon sebaliknya diputuskan parti, kelihatan lebih cenderung kepada pendekatan ‘merangkul’ kerjasama dengan banyak pihak termasuk PN demi satu matlamat iaitu menewaskan BN dalam pertarungan satu lawan satu.
Dari hari ke hari, kempen kedua-dua calon ini dilihat semakin jelas dan bahang pertembungannya kian terasa terutama memasuki hari di mana debat antara kedua tokoh ini akan berlangsung pada Rabu, 11 Mei 2022 di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.
Debat ini merupakan kali pertama seumpamanya berlaku dalam sejarah parti politik tanah air melibatkan perebutan jawatan kedua tertinggi dalam parti. Untuk rekod, pada 2018, debat serupa pernah berlangsung melibatkan tiga calon ketua sayap pemuda PKR, Angkatan Muda Keadilan (AMK), iaitu Akmal Nasir, Dr Afif Bahardin, dan Najwan Halimi.
Hujah siapa lebih baik?
Bagi para peminat politik tanah air, pastinya debat ini bakal jadi satu acara yang dinanti-nantikan khususnya bagi mendengar sendiri secara tuntas pembentangan idea dua tokoh politik berwibawa PKR tersebut.
Rafizi Ramli, di satu pihak secara umum telah diakui kehebatannya terutamanya dianggap sebagai ‘arkitek’ yang merencana kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 pada Mei 2018.
Manakala Saifuddin Nasution di satu pihak lain, tidak kurang hebatnya apabila bekas menteri perdagangan dan hal-ehwal pengguna itu dianggap sebagai antara menteri yang berprestasi tinggi dalam tempoh singkat pentadbiran PH, terutamanya dalam mengawal harga barang keperluan rakyat.
Perbezaan pendekatan kedua-dua calon ini boleh diteliti lebih lanjut apabila kedua-duanya berhujah di pentas debat terbuka – hujah siapakah lebih meyakinkan dan boleh diterima.
Bagi kira-kira sejuta ahli PKR, pembentangan hujah tersebut akan membolehkan mereka membuat penilaian siapakah akan mereka pilih sebagai Timbalan Presiden sebagai ‘orang kanan’ Presiden mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengekalkan jawatannya selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Manakala bagi para orang awam yang bakal mengikuti debat tersebut, ia akan jadi petunjuk kepada keupayaan PKR untuk mengemukakan cadangan-cadangan yang baik untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah rakyat secara keseluruhan, bukan semata-mata mengendalikan urusan parti itu sahaja secara terpisah.