Kemenangan rakyat Bahau

TEO Kok Seong dipilih sebagai Adun Bahau pada PRU14 dengan kemenangan bergaya apabila memperoleh undi lebih 10,000.

Beliau turut memberi jaminan akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin agar pemilihan PKR menerusi PRU ini berbaloi.

Maka dakwaan kehadiran ribuan penyokongnya sepanjang kempen ternyata benar mengangkat PKR dalam Dun Bahau.

Kok Seong dalam kenyataannya juga melahirkan rasa terima kasih kepada pengundi yang tidak ragu-ragu memilih PKR untuk meneruskan agenda pentadbiran.

“Terima kasih kepada semua pengundi Bahau yang telah sekali lagi memberi mandat kepada saya.

"Kemenangan ini merupakan kemenangan semua rakyat di Bahau.

"Saya akan melaksanakan amanah yang diberi untuk terus membela nasib rakyat.

“Tidak lupa kepada semua rakan-rakan seperjuangan yang telah membantu saya sepanjang masa kempen,” katanya.

Terdahulu Kok Seong mengekalkan kerusi Dun Bahau apabila mencatatkan undian 10,094 dengan majoriti 6,109 undi.

Manakala calon muka baharu, Chong Wan Yu (BN) terpaksa akur apabila hanya mencatatkan undi sebanyak 3,985 dan calon Pas, Mustafar Bakri Abdul Aziz dengan 1,512 undi.

Sementara itu, sebanyak 81.3 peratus rakyat Bahau keluar mengundi membabitkan 200 undi ditolak.

Menurut Kok Seong, suara rakyat melangkaui batas kaum dan agama harus didengari dan menjadi keutamaan, selain amat komited untuk mempertahan dan membela nasib rakyat.

“Sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat baik di Dun mahupun Parlimen, saya berpandangan bahawa rakyat bukan sahaja memerlukan lebih banyak suara tetapi perlukan perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

“Saya komited dan sedia menggalas tanggungjawab dan membela kepentingan rakyat di Negeri Sembilan.

“Peluang yang diberikan rakyat tidak akan disia-siakan dengan mandat dan amanah ini,” katanya.
 

Teo Kok SeongBahau Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :