Kuasa rakyat lebih besar dari kuasa ringgit

PETALING JAYA - Kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 membuktikan kuasa rakyat lebih tinggi berbanding kuasa ringgit.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, ini adalah detik bersejarah dan ramai rakyat Malaysia terus bersemangat dengan harapan baharu ini.

"Inilah masa untuk kita bekerja dan tunaikan semua janji-janji kita. InsyaALLAH kita akan tunaikan.

"Satu kesyukuran dengan kemenangan ini, ternyata ia berlaku dengan kuasa rakyat dan bukannya kuasa ringgit," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas sidang media khas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, sebentar tadi.

Beliau yang berjaya menyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai mengucapkan terima kasih kepada rakyat Lembah Pantai yang menaruh kepercayaan kepada dirinya dan Harapan.

Katanya, ini menunjukkan rakyat mahukan keadilan dan telah jemu dengan parti BN.

Mengulas tentang pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Fadzil berkata, perkara ini adalah kesinambungan dan komitmen pimpinan Harapan.

"Bukan sahaja untuk membebaskan beliau (Anwar), tetapi untuk dapatkan pengampunan bagi beliau menceburkan semula diri ke dalam arena politik," katanya.

AHMAD FAHMI MOHAMED FADZIL