Dari dunia animasi terjun ke arena politik

SEGAMAT - Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Johor, Azrol Rahani, 41, yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, berazam mewujudkan peluang pekerjaan bagi generasi muda Felda jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang sebelum ini merupakan antara tulang belakang pasukan animasi Anak-anak Sidek dan Keluang Man berkata, keazamannya itu selepas melihat generasi ketiga dan keempat Felda terpaksa keluar dari tanah rancangan kerana tiada peluang pekerjaan.

"Saya adalah generasi ketiga Felda yang sudah lebih 20 tahun menetap di Felda, sangat mengetahui keadaan ini. Sekiranya menang kita akan cuba bangunkan tanah-tanah Felda dengan projek pertanian dan penternakan yang moden.

"Ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan mereka tidak perlu berhijrah ke bandar," katanya.

Azrol dilahirkan di Masai, Pasir Gudang, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Cahaya Baru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang I dan meneruskan pengajian di Kolej Yayasan Melaka dalam bidang Teknologi Animasi.

Beliau ditemui semasa majlis pengumuman tiga calon Muda yang akan bertanding dalam PRN Johor di Taman Soon Chong, Labis di sini pada Isnin.

Tiga calon bagi DUN Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang itu diumumkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, calon DUN Tenang, Lim Wei Jiet, 31, yang merupakan seorang peguam berkata, beliau bersetuju dicalonkan kerana tidak sanggup lagi melihat kepincangan politik negara yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya mengambil keputusan menyertai politik pada tahun 2020 apabila melihat korupsi dan penyalahgunaan kuasa berleluasa. Saya tidak mahu mewariskan negara ini kepada anak saya dalam keadaan negara yang tidak progresif dan ketinggalan," katanya.

Wei Jiet dilahirkan dan dibesarkan di Muar merupakan anak kepada pasangan guru dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Andrew Muar serta Sekolah Tinggi Muar sebelum menyambung pengajian ke Universiti Malaya.

Bagi calon DUN Bukit Kepong, Nurafiqah M Zulkifli, 31, yang juga adalah aktivis berhasrat membawa pembangunan di kawasan luar bandar kerana beranggapan kemajuan yang dikecapi di Johor ketika ini tidak seimbang antara bandar dan luar bandar.

"Contohnya kawasan di Johor utara, kami kurang merasai limpahan pembangunan. Kebanyakan pembangunan berlaku di Johor Bahru. Di kawasan Johor utara banyak potensi boleh digembleng. Kemudahan asas, jaringan telekomunikasi dan internet juga masih tidak bagus," katanya.

Nurafiqah merupakan anak jati Muar dibesarkan pasangan guru dan mendapat pendidikan di SK Sultan Abu Bakar 2, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa.