Akan terbang tinggikah Layang-layang Dr Maszlee?

Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari satu segi mendahului lawan mereka apabila terlebih dahulu mengumumkan nama calon-calon pertama mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun penamaan calon secara rasmi seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pada 26 Februari nanti.

Menamakan calon-calon secara berperingkat dari satu zon Dewan Undangan Negeri (DUN) ke satu zon lain adalah satu idea baru yang segar, yang mungkin belum pernah dilakukan mana-mana parti dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Apa yang pernah dan sering dibuat adalah parti-parti bertanding hanya mengumumkan kesemua calon mereka satu hari atau beberapa hari lebih awal daripada hari penamaan calon - seperti yang berlaku dalam PRN Sarawak Disember lalu.

Isnin lalu, PKR yang sebelum itu telah mengumumkan calon-calon PRN Johor mereka di 12 DUN, menambah satu lagi nama calon parti itu di DUN Layang-layang dengan menamakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Pengumuman yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menamatkan teka-teki akan kerusi yang bakal ditandingi Dr Maszlee kerana sejak dari awal sebelum acara tersebut, nama beliau telah pun disebut-sebut sebagai akan bertanding dalam PRN Johor.

Malah lebih jauh, beliau diura-urakan sebagai calon PH untuk menjadi Menteri Besar (MB) jika gabungan itu berhasil merebut Johor dari parti-parti lawan dalam PRN tersebut.

 

DUN BN, Parlimen PH

N27 Layang-layang merupakan satu daripada dua DUN yang ada dalam parlimen Simpang Renggam, parlimen yang dimenangi Dr Maszlee dalam percubaan pertamanya terjun ke bidang politik sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

DUN ini dalam PRU-14 lalu dimenangi Barisan Nasional (BN) lewat calonnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi menewaskan calon PH-PKR, Murugan A/L Muthu Samy dengan majoriti tipis, 364 undi dalam saingan tiga penjuru yang turut melibatkan calon Pas, Mohd Jubri Selamat.

Satu lagi DUN ialah N26 Machap yang juga dimenangi calon BN dengan majoriti tipis, 404 undi melibatkan Abd Taib Abu Bakar dari Umno, menewaskan Ahmed Ahem dari Bersatu yang pada waktu itu merupakan parti gabungan PH.

Apa yang menarik ialah, walaupun kedua-dua kerusi ini dimenangi BN, parlimen Simpang Renggam bejaya dimenangi PH lewat Dr Maszlee, apabila beliau menewaskan calon BN-MCA, Liang Teck Meng dengan majoriti 3,475 undi.

Situasi ini seakan-akan membayangkan hasrat pengundi di sana yang ingin mengekalkan BN di negeri (walaupun BN kehilangan Johor dalam PRU-14) dan pada masa yang sama membuat perubahan di peringkat kerajaan pusat dengan memenangkan calon PH.

Perbezaan mood dan sentimen di dua territory (wilayah) berbeza ini - negeri dan pusat harus ditanggapi Dr Maszlee dan PH. Mereka harus sedar apa faktor yang memberi kemenangan kepada mereka di parlimen Simpang Renggam dalam PRU-14 lalu; antaranya mungkin isu nasional skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak - isu yang pada masa ini tidak lagi relevan.

 

MB dari Layang-layang?

Untuk memenangi Layang-layang dan mana-mana kerusi DUN, Dr Maszlee harus fasih isu tempatan dan isu negeri Johor - ini satu pesanan yang biasa.

Dalam percubaan ini, ura-ura bahawa beliau adalah calon MB Johor barangkali boleh dilihat sebagai satu tarikan kepada pengundi di sana untuk menghantar wakil rakyat dari kawasan tersebut ke Saujana, Jalan Hassan Al-Attas, Johor Bahru mengisi kediaman rasmi Menteri Besar.

Namun pertaruhan besar diambil oleh Dr Maszlee dan PKR dengan meletakkan bekas pimpinan Bersatu itu di kerusi yang berada dalam parlimen yang diwakilinya sekarang.

Seandainya beliau tewas di sana 12 Mac nanti, ia akan memberi kesan kepada kedudukan beliau di parlimen Simpang Renggam, jika beliau berhasrat mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU-15 nanti.

Sebaliknya jika menang, ia menghantar mesej jelas bahawa beliau jadi pilihan pengundi di sana dan sekira-kira peluang untuk kekal di kerusi parlimen adalah cerah.

Justeru, setinggi mana Layang-layang Dr Maszlee mampu terbang PRN nanti? Sekira-kira ia hanya akan dapat kita ketahui pada 12 Mac nanti selepas kertas undi terakhir dikira. Sementara itu, peluang semua calon yang bakal diketahui pada 26 Februari nanti adalah sama rata.

MASZLEE MALIKONN HAFIZ GHAZIPRN Johor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :