Berapa penjuru pula kali ini

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tiga bulan lalu barangkali telah menetapkan ‘norma baru’ pilihan raya-pilihan raya di Semenanjung yang berlangsung selepasnya dari segi banyaknya parti yang bertanding.

Ini kerana kebiasaan sebelum ini dalam mana-mana pilihan raya  di Malaysia Barat, perebutan kerusi jarang sekali melibatkan persaingan sehingga enam penjuru seperti yang dapat disaksikan di PRN Melaka.

Dalam PRN Melaka, pertembungan enam penjuru direkodkan di tiga kerusi DUN, manakala di lima kerusi DUN, berlaku pertandingan lima penjuru.

Selebihnya, pertandingan tiga penjuru membabitkan 11 kerusi DUN, manakala empat penjuru direkodkan di sembilan kerusi DUN. Tiada pertembungan langsung dua penjuru di mana-mana DUN di sana.

Saingan enam penjuru, malah lebih banyak daripada itu sebelum ini mungkin hanya biasa kedengaran berlaku dalam pilihan raya-pilihan raya di Sabah dan Sarawak - tidak pelik kerana terdapat banyak etnik di sana yang diwakili parti-parti politik yang juga banyak.

Namun di Semenanjung, situasi banyak penjuru ini tidaklah dicerminkan oleh kepelbagaian suku kaum sebaliknya oleh perpecahan ideologi politik atau mungkin sahaja disebabkan kegagalan beberapa individu dalam parti lama sehingga mendorong kepada penubuhan parti baru bersama anak-anak buahnya.

Dalam PRN Melaka, buat pertama kali dalam sejarah negara, parti-parti dalam kerajaan persekutuan bertarung sesama sendiri apabila Barisan Nasional (BN) yang dianggotai Umno, MCA, dan MIC melawan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu, Pas, dan Gerakan, selain Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP, dan Amanah yang memang berada di luar kerajaan.

Walhal keenam-enam parti terbabit dari BN dan PN merupakan pendukung kerajaan pada ketika ini di peringkat pusat.


Mana-mana rancak

Penyertaan mereka dirancakkan pula dengan penyertaan baru parti-parti seperti Putra pimpinan Datuk Ibrahim Ali, dan parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) yang masing-masing membuat penampilan sulung dalam pilihan raya nasional.

Jika situasi unik tersebut dapat kita perhatikan di Melaka, apa pula yang bakal kita saksikan di Johor menjelang PRN di sana 12 Mac nanti?

Selain BN dan PN bakal mengulangi perseteruan mereka di pentas politik negeri, kita juga bakal melihat pertambahan parti-parti politik pembangkang yang mahu bertanding di Johor.

Parti-parti seperti Pejuang, Muda, dan Warisan tidak bertanding dalam PRN Melaka namun pada ketika ini peluang terbuka bagi mereka untuk bertanding di Johor.

Muda setakat ini dalam perbincangannya dengan PH dilaporkan bakal bertanding sekitar enam ke sembilan kerusi. 

Pejuang malah lebih berani, walaupun belum mengumumkan gabungan politik dengan mana-mana pihak, sudah pun mengumumkan akan bertanding 42 kerusi DUN.

Parti Warisan Sabah yang telah melebarkan sayap ke Semenanjung pula walaupun belum ada perkembangan lanjut selepas membayangkan hasrat bertanding PRN Johor, tidak boleh diketepikan dalam persaingan terutamanya selepas media melaporkan parti itu akan melancarkan penubuhan Warisan Johor pada 15 Februari nanti.

Dan jika kita terlepas pandang, ada satu lagi parti bernama Parti Bangsa Malaysia (PBM), parti pecahan dua kali dari pertama; PKR, dan kedua; Bersatu yang juga menyatakan hasrat bertanding dalam PRN Johor nanti - di dua kerusi DUN yang belum diumumkan.

Jika kesemua parti yang disebut dalam artikel ini bertanding dalam PRN Johor, ditambah pula dengan calon-calon Bebas, berapakah penjuru persaingan yang bakal kita lihat nanti di negeri selatan tanah air itu? Apakah pula maknanya kepada demokrasi negara?

PRN Johor
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :