mohon sokongan warga tentera kem hutan melintang

BAGAN DATUK — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru warga tentera Kem Hutan Melintang terus memberi sokongan terhadap kerajaan BN pada PRU14.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sokongan warga tentera Kem Hutan Melintang penting bagi meneruskan pembangunan yang telah dirancang sebelum ini.

“Saya harap bila tiba hari raya (merujuk kepada PRU-14), hari itu... sangat penting untuk kita tentukan kem kita terus didokong kerajaan yang sama untuk hidupkan kem Hutan Melintang sebagai sebuah kem terbaik di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Keluarga Kem Hutan Melintang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, di sini pagi ini.

Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin; Panglima Markas 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar; Panglima 2 Briged Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar dan Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin.

Kira-kira 1,700 anggota termasuk batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh dan batalion Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kamunting serta ahli keluarga mereka menyertai hari keluarga kem itu.

Dalam perasmian itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Kebajikan Rejimen (TKR) Kem Hutan Melintang yang disampaikan Hamzah kepada Mohd Nizam.

“Jangan bila ada musim buah baru kelawar datang. Orang Bagan Datuk bukan seperti itu kita seperti buah kelapa yang berbuah sepanjang tahun. Begitulah semangat kita di sini,” katanya.

Difahamkan Kem Hutan Melintang itu yang telah dibuka 16 September tahun lalu bakal menempatkan 5,000 anggota dan pegawai tentera secara berperingkat

Dalam majlis Hari Keluarga Kem Hutan Melintang itu, Ahmad Zahid turut menyertai beberapa sukaneka antaranya acara menarik kenderaan berperisai pelbagai guna. — Bernama

Ahmad Zahid HamidiBagan DatukBagan Datok
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :