Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Shefura Othman mendedahkan beliau memilih Parti Tindakan Demokratik (DAP) disebabkan peluang yang diberi parti itu kepada orang muda dan wanita.
Beliau yang juga dikenali sebagai Rara berkata, beliau tertarik dengan cara kerja wakil-wakil rakyat DAP selain idea mereka yang kena dengan kehendak yang ingin beliau bawa untuk masyarakat.
"Kenapa DAP dan bukan PKR? Sebab saya rasa pada ketika itu DAP memberi ruang dan peluang kepada orang muda dan wanita."
"Dan saya lihat cara kerja wakil rakyat DAP pada ketika itu sangat menarik, selain pendirian dan idea DAP kena dengan kehendak yang saya hendak bawa untuk masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Sinar Daily dalam satu episod program Politically Frank ketika sedang mengedarkan sumbangan kepada orang ramai di Kampung Perting, Bentong, Pahang sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.
Ketika ditanya tentang persepsi negatif yang sering diterima kerana menyertai DAP, beliau mengakui berasa sangat penat menangkis dakwaan sebagai pengkhianat bangsa yang sering datang dari pelbagai pihak.
"Memang sangat penat sebagai Melayu Muslim kerana orang menganggap kita sebagai pengkhianat bangsa dan sebagainya, namun kita buktikan apa yang kita nak buat, dan orang akan menilai kita bukan berdasarkan parti tapi atas dasar individu," katanya.
Rara terpilih menjadi ADUN Ketari dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selepas memenangi kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan memperolehi 9,873 undi.
Dalam PRU tersebut beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lao Hoi Keong dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Roslan Md Esa.