SHAH ALAM - Penggunaan satu logo melakar sejarah baharu dalam gabungan pembangkang yang dijelmakan menerusi Pakatan Harapan (Harapan).
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, dengan semangat satu logo itu, Harapan bertekad untuk meleburkan rekod tanpa kalah BN pada pilihan raya umum selama ini.
“Suara rakyat yang perlu diangkat, bukan pimpinan kotor ‘acah hebat’ yang dipenuhi detik hitam dan kontroversi sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara.
“Berkibarlah bendera PKR demi hak rakyat Malaysia untuk memilih masa depan yang lebih baik menjelang hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Harapan guna simbol PKR untuk PRU14]
Harapan menerusi pengumuman Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kesemua parti komponen pakatan pembangkang akan menggunakan logo PKR pada PRU14.
Dalam pada itu, dengan sinis Nurul Izzah berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata takut ketika ini, sehingga sebuah parti baharu dihalang menggunakan logo mereka sendiri.
“Begitu gentarnya seorang pahlawan, apabila wajah seorang warga emas 93 tahun tidak dibenarkan untuk ditayang di seluruh negara,” katanya.
Justeru dakwanya, beliau melihat seluruh tumpuan rakyat Malaysia menjelang PRU14, adalah untuk menunjuk Umno/BN jalan keluar daripada Putrajaya.