Tiket ‘belon’ mahal macam mana nak balik mengundi

Isu tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang didakwa terlalu mahal sejak kebelakangan ini menjadi satu topik yang hangat dibicarakan bukan sahaja dalam kalangan rakyat, bahkan isu ini turut dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Permasalahan ini pastinya menjadi satu bebanan kepada rakyat Sarawak khususnya yang bekerja dan menetap di Semenanjung Malaysia untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 18 Disember ini.

Dengan tarikh pembuangan undi yang semakin dekat, permasalahan ini pastinya membuatkan rakyat Sarawak yang mahu pulang mengundi menjadi lebih tersepit.

Manakan tidak, harga tiket untuk perjalanan sehala sahaja sudah mencecah RM500 seorang dan jika pulang bersama keluarga harganya bakal mencecah ribuan ringgit.

Justeru, perlu ada satu langkah penyelesaian yang spesifik daripada pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membantu dan memudahkan urusan pengundi yang berada di luar kawasan untuk membuang undi memandangkan undi melalui pos hanya dilaksanakan untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara, anggota keselamatan, media dan petugas pilihan raya. 

 

Akibat had kapasiti penerbangan

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata harga tiket penerbangan yang tinggi adalah kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha negeri itu menangani penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

"Pemantauan MAVCOM antara 26 September hingga 2 Oktober untuk perjalanan selepas 8 Oktober mendapati penerbangan Kuala Lumpur ke Kuching merekodkan harga tiket yang lebih rendah iaitu antara 29 peratus sehingga 74 peratus berbanding harga tiket pada 2019.

"Laluan lain seperti Kuala Lumpur ke Miri dan Kuala Lumpur ke Sibu masih merekodkan harga yang tinggi iaitu antara RM530 hingga RM1600 sehala manakala laluan Semenanjung ke Sabah pula, harga tiket lebih tinggi antara lapan peratus hingga 163 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada 2019," ujarnya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober lalu.

 

Sukar laksanakan e-undi

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata masa dan sumber yang ada pada ketika ini tidak mencukupi untuk melakukan beberapa pembaharuan pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang termasuk melaksanakan e-undi dan memperluaskan undi pos.

Beliau berkata tempoh tiga minggu yang berbaki menjelang PRN Sarawak adalah sangat suntuk dan halangan logistik merupakan sebab mengapa undi pos untuk rakyat Sarawak yang berada di negeri lain sukar dilaksanakan.

“Terdapat isu teknikal untuk mengumpulkan semua kertas undi, kerana pengundian berdasarkan kawasan dalam DUN.

“Oleh kerana ia melibatkan 82 kerusi DUN, ini bermakna ia memerlukan 82 peti undi diletakkan di setiap pusat mengundi (di luar Sarawak).

“Akan ada masalah dari segi pengurusan logistik dan ia memerlukan bilangan pegawai pilihan raya yang ramai,” katanya.

Sebelum ini ahli-ahli parlimen di Sabah dan Sarawak menggesa supaya E-undi atau langkah memperluaskan undi pos dilaksanakan memandangkan perjalanan pergi balik merupakan halangan logistik bagi pengundi yang tinggal di Semenanjung, terutama kos penerbangan yang tinggi.

Dengan berbaki tiga minggu sahaja lagi, diharapkan kerajaan dan pihak SPR mampu keluar dengan satu jalan penyelesaian yang efektif bagi membantu pengundi luar agar situsai sama seperti di PRN Melaka tempoh hari tidak berulang kembali.

PRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :