Bersatu bantu GPS berkempen pada PRN Sarawak

SEPANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan turun membantu dalam menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Open berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, bulan depan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kedua-dua pihak itu saling bekerjasama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

“GPS adalah parti mesra kepada kami. Tidak ada salahnya kita untuk menyokong parti yang mesra kepada PN,” kata Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN dengan Bersatu adalah sebahagian daripadanya.

Bersatu dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada PRN Sarawak ke-12.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Disember ini dengan hari penamaan calon pada 6 Disember, manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Komponen GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menguasai 68 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketika ini, PBB memiliki jumlah kerusi terbesar iaitu 47, PRS (11), SUPP (7) dan tiga oleh PDP.

Sebelum ini, GPS mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 82 kawasan DUN pada PRN Sarawak kali ini. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my