bersatu digantung sementara dilanda pelbagai masalah

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu yang digantung sementara Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berkuatkuasa hari ini kerana gagal mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan, dilanda pelbagai masalah sejak ditubuhkan tidak sampai dua tahun lalu.

Bersatu, yang ditubuhkan berikutan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno, antara lain terpaksa memecat beberapa pemimpinnya kerana masalah disiplin, menyaksikan  pergaduhan sesama anggotanya semasa mesyuarat dan berdepan dengan tindakan anggotanya membuat laporan kepada polis dan RoS.

Muhyiddin adalah presiden Bersatu, manakala bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengerusi parti itu.

Antara pemimpin lain parti itu ialah bekas menteri besar Kedah dan anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz (Timbalan Presiden), bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (Naib Presiden) dan ahli Dewan Undangan Negeri Jorak (Johor) Datuk Dr Shahruddin Md Salleh  (Setiausaha Agung).

Bersatu menonjolkan dirinya sebagai parti alternatif bagi orang Melayu dan berjanji untuk melakukan perubahan.

Pada 20 Mac tahun lalu, Bersatu menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (Harapan), yang sebelum itu dianggotai DAP, PKR dan Amanah, sebagai komponennya.

Bersatu bersama-sama parti komponen Harapan lain telah membuat peruntukan kerusi sesama mereka dan malah menamakan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya pakatan itu memenangi PRU14.

Bagaimanapun, berikutan masalah yang melanda parti itu sejak penubuhannya pada 8 September  2016, beberapa anggota hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti Bersatu dan meninggalkan parti itu.

Mereka termasuk bekas Naib Presiden Datuk Hamidah Osman, bekas Setiausaha Eksekutif Kamarul Azman Habibur Rahman, bekas Ketua Sayap Wanita Anina Saadudin dan penyokong tegar Tun Mahathir sendiri, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Semakin banyak anggota dilapor meninggalkan parti itu kebelakangan ini.

RoS mengeluarkan perintah penggantungan sementara hari ini berikutan kegagalan Bersatu mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan setelah diarah berbuat demikian pada 28 Feb melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Ketua pengarah RoS, Surayati Ibrahim hari ini berkata setelah mengeluarkan perintah bahawa Bersatu mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan butiran itu, parti itu akan dibubarkan sekiranya ia gagal  berbuat demikian.

Dalam masa 30 hari itu, Bersatu dilarang daripada menggunakan nama dan simbolnya serta menjalankan aktiviti parti. - Bernama

Bersatu