"Bebaskah" calon Bebas?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November ini menyaksikan kelainan dalam persaingan antara parti politik yang bertanding.

Penyertaan lebih ramai calon yang bertanding kali ini berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu  merancakkan lagi PRN Melaka kali ini.

Turut mencuri tumpuan adalah penyertaan seramai 22 orang calon bebas yang akan bertanding menentang 90 orang calon lagi yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

13 calon bentuk Gagasan Bebas

Seramai 13 daripada 22 orang calon Bebas mengambil keputusan membentuk satu gabungan yang dikenali sebagai 'Gagasan Bebas' untuk berkongsi manifesto dan memenuhi aspirasi rakyat Melaka yang didakwa kecewa dengan pergolakan politik di negeri itu.

Gagasan Bebas merangkumi Ariff Adly Mohammad (Telok Mas); Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang); Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil); Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek); Datuk Kamisan Palil (Kuala Linggi); Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Serkam).

Selain itu, Mohd Akhir Ayob (Asahan); Azafen Amin (Gadek); Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput); Azlan Daud (Machap Jaya); Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal); Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia).

Sementara itu, kesemua 13 calon yang bernaung dalam Gagasan Bebas juga telah menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak akan menyertai mana-mana parti politik sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Sekretariat Setiausaha Gagasan Bebas, Mohammad Zaki Omar berkata menerusi aku janji tersebut calon tidak boleh mencabuli mandat yang diberikan pengundi dengan beralih kepada parti politik lain apabila menjadi wakil rakyat.

Menurutnya, aku janji tersebut dibuat atas kerelaan calon-calon bagi tujuan melaksanakan amanah dan mandat yang diberikan pengundi kepada calon berkenaan.

"Namun, sekiranya calon ingkar dengan aku janji tersebut, pengundi kawasan itu berhak memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Melaka bagi tujuan perolehan Perintah Deklarasi bagi mengosongkan kerusi serta pelepasan jawatan sebagai ADUN," katanya di Ayer Keroh pada Isnin, memetik media.

Norhizam tak tolak kemungkinan sokong gabungan tertentu

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang terkenal dengan jolokan 'YB Viral' berkata dirinya tidak gentar dengan empat pesaing lain bagi DUN tersebut.

Norhizam berkata, beliau mempertaruhkan prestasinya untuk dipilih semula sebagai wakil rakyat di kawasan itu dan yakin akan mencipta sejarah sebagai calon Bebas dengan mempertahankan DUN Pengkalan Batu.

Sementara itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan menyokong gabungan tertentu bagi membentuk kerajaan negeri demi memberikan perkhidmatan terbaiknya kepada pengundi tetapi dengan syarat.

"Saya tidak boleh fikirkan diri sendiri dalam soal ini, saya akan melihat tawaran yang dipelawa kepada saya, dan pastinya ia bersyarat. Tidak kira gabungan mana pun, jangan buat perangai lama, itu syarat saya," katanya yang akan memikirkan mengenai sebarang tawaran, hanya jika beliau sah menang selepas hari pengundian nanti.

Muhammad Ariff Adly MohammadMohd Zahar HashimAbdul Hamid MustapahPRN Melaka Calon Bebas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :