Kenyataan Wan Azizah fitnah, berniat jahat: Pas

SHAH ALAM - Pas mengecam kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa parti itu menarik diri daripada pencalonan bagi Dun Rantau bagi memberi laluan kepada BN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah kenyataan fitnah dan berniat jahat yang semakin sebati dengan perangai Pakatan Harapan (Harapan).

Menurutnya, Pas dan Gagasan Sejahtera sememangnya tidak meletakkan calon untuk kerusi Dun Rantau kerana faktor setempat seperti kebolehan untuk menang dan komposisi pengundi yang mana menjadikan ia bukan kerusi strategik untuk ditandingi.

"Kami berpandangan bahawa kenyataan jahat dan fitnah daripada Presiden PKR itu hanya untuk mengelirukan rakyat dengan niat untuk memburukkan Pas dengan menggunakan budaya politik yang amat tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas dakwaan Wan Azizah dalam ceramahnya di Indera Mahkota.

Tuan Ibrahim berkata, PKR seharusnya menjawab dakwaan kerjasama dengan BN di sebalik layanan istimewa kepada pimpinan parti itu dan keluarganya untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta akses mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang halangan.

"Presiden PKR juga harus menjawab apakah beliau setuju dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Harapan) mengenai Anwar ketika temuramah bersama The Guardian baru-baru ini.

"Pas sehingga hari ini mempercayai Anwar difitnah sehingga dipenjarakan," katanya.

Beliau turut mempersoalkan  kawasan-kawasan di mana calon PKR ditolak pencalonannya.

"Apakah PKR akan menyuruh penyokongnya memberikan kemenangan kepada BN atau Pas?" soalnya.

Wan Azizah Wan IsmailTuan Ibrahim Tuan Man