ajak debat ‘kerja bodoh’ pembangkang

BAGAN SERAI - Tindakan calon pembangkang sering mengemukakan cabaran debat terhadap calon BN sepanjang PRU14 dianggap satu ‘kerja bodoh’ yang tidak kena pada masanya.

Calon BN Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, perbuatan calon parti pembangkang mengajak debat hanyalah taktik untuk menyelamatkan diri mereka.

Menurutnya, dalam tempoh berkempen kurang dari seminggu, sepatutnya waktu itu dimanfaat setiap calon PRU untuk bekerja menemui rakyat, bukan berdebat.

“Taktik calon pembangkang adalah mereka cuba menarik calon BN ke dalam gelanggang mereka untuk ‘bertinju’.

“Ini semua kerja bodoh dan kita tidak akan sesekali melayan ajakan mereka sepanjang tempoh kempen PRU.

“Calon BN bukan takut dan tidak masalah untuk berdebat, namun biarlah pada masa sesuai,” katanya sewaktu turun berkempen di Pasar Pagi Masjid Tinggi, di sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sewaktu berucap pada perasmian Dataran Amanjaya Simpang Lima, Parit Buntar kelmarin turut membidas sikap pembangkang yang seringkali mengajak debat dalam tempoh PRU14.

Dalam perkembangan lain, Noor Azmi mengakui cukup teruja berhadapan dengan calon pembangkang yang muda dari PKR-Harapan dan calon wanita dari Pas pada pertembungan tiga penjuru, PRU14.

“Bukan riak, namun hakikatnya sebagai anak tempatan sudah semestinya saya lebih rapat di jiwa masyarakat berbanding calon pembangkang yang baru hendak mengenali Bagan Serai,” katanya.

Noor Azmi GhazaliBagan Serai