Jangan undi selain Harapan di Pasir Mas

SHAH ALAM - Saya minta kesal itu setakat hari ini... cukup, demikian nasihat calon Pakatan Harapan (Harapan) Dun Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz kepada pengundi di Pasir Mas agar tidak lagi mengundi calon selain Harapan pada PRU14 tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi di atas kekesalan seorang lelaki yang mendakwa sebagai pengundi di Parlimen Pasir Mas pada PRU13 lalu dan telah memilih Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, pengundi yang dikenali Kamaruzzaman itu meluahkan rasa kesal kerana telah memilih adik kepada Nik Omar itu dalam satu majlis bertemu mata Anak Kelantan di perantauan bertempat di Pusat Logistik Harapan, di Seksyen 17, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, calon Dun Batu Tiga, Rodziah Ismail dan calon Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad.

Pada masa sama, Nik Omar turut mengingatkan semua rakyat Kelantan agar pulang mengundi pada 9 Mei ini untuk menukar kerajaan kepada Harapan.

"Pada zaman tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) rakyat sanggup bersusah payah balik ke Kelantan, sekarang pun kena balik juga sebab anak tok guru ada (saya)," katanya ringkas sambil diiringi gelak ketawa hampir 100 orang yang hadir.

Nik Omar merupakan anak kedua daripada 10 beradik kepada Musyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau juga merupakan abang kepada Nik Mohamad Abduh selaku penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas.
 

Nik Omar Nik Abdul AzizShah Alam Chempaka
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :