Lebih 100,000 dijangka keluar mengundi

MERBOK - Jumlah pengundi seramai 97,158 orang di Parlimen Merbok pada PRU14 bukanlah satu angka yang kecil dan ia meliputi dua Dun iaitu Bukit Selambau seramai 57,616 dan Tanjung Dawai seramai 39,542 orang.

Pengundi Melayu direkodkan seramai 33,052 di Bukit Selambau (57 peratus) manakala pengundi Cina seramai 10,753 (18 peratus) dan India pula seramai 13,420 (23 peratus).

Bagi Dun Tanjung Dawai, 80 peratus pengundi iaitu 31,980 orang adalah Melayu, 4,841 orang Cina (12 peratus) dan 2,177 orang (5 peratus) pengundi India.

Ini menunjukkan pengundi Cina dan India juga menyumbang ke arah keputusan yang bakal diperoleh dan sudah semestinya setiap daripada calon perlu mengambil kira peratus pengundian mereka walaupun ia bukan majoriti.

Penyandang Parlimen Merbok, Profesor Dr Ismail Daut menang pada PRU13 mengalahkan calon PKR, Nor Azrina Surip dengan majoriti 4,122 undi.

Walaupun BN mendominasi kawasan ini di mana penyandang Dun Tanjung Dawai juga milik BN, hanya kerusi Dun Bukit Selambau milik PKR, Dr Krishnamoorthy yang menang pada PRU13, tetapi BN tidak harus ambil mudah.

Ini kerana, Pakatan Harapan (Harapan) kembali memberi kepercayaan kepada Nor Azrina untuk bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Merbok biarpun beliau pernah tewas di tangan Ismail.

Pasti ada sesuatu yang luar biasa sehinggakan wanita itu dicalonkan semula bagi menakluki Parlimen Merbok daripada kerusi BN.

Nor Azrina atau lebih mesra dengan nama Nurin Aina seorang jurutera wanita dan Ketua Wanita PKR Kedah merupakan aktivis reformasi sejak 1998 serta pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah ketika Pas memerintah negeri ini.

Keputusan memilih Nurin Aina besar kemungkinan mahu mendapatkan semula Parlimen Merbok yang pernah dimenangi PKR pada PRU12 di mana ketika itu Datuk Rashid Din menjadi penyandangnya.

Pada pilihan raya itu, Rashid menang mengalahkan calon BN yang ketika itu merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain (ketika ini menyandang Ketua Umno Bahagian Merbok, Adun Tanjung Dawai dan Exco Kerajaan Negeri).

Rashid memperolehi undi sebanyak 25,541 manakala Tajul dengan undian sebanyak 22,442 ketinggalan dengan majoriti undi sebanyak 3,098.

Rela buka jalan pada yang dipilih: Ismail

Ismail dalam kenyataan sebelum ini reda tidak lagi diumumkan bertanding dan bersedia memberi laluan kepada calon lain sepertimana kehendak parti.

“Saya masih setia dengan kepimpinan parti walaupun ada yang cuba mengasak supaya bertanding atas tiket bebas disebabkan tidak terpilih tetapi, saya reda dan berserah kepada ALLAH dan rela buka jalan kepada calon yang dipilih,” katanya.

BN mempertaruhkan Tajul Urus yang pernah tewas kerusi Parlimen Merbok pada PRU12 untuk sekali lagi bertanding di kerusi itu.

Berdasarkan pengaruh sebagai exco kerajaan negeri yang memegang port folio pendidikan, pengangkutan dan badan bukan kerajaan, BN melihat Tajul Urus mempunyai potensi besar untuk menang kali ini.

Akan terus berkhidmat demi parti: Tajul Urus

Sementara itu, Tajul Urus yang juga penyandang kerusi Dun Tanjung Dawai, dicalonkan untuk Parlimen Merbok ketika ditemui menjelaskan, bagi memastikan kesinambungan peruntukan diagihkan kepada rakyat Merbok, beliau akan memastikan perkhidmatannya diteruskan.

Katanya, isu berbangkit, tidak langsung mematahkan semangat malah menjadikan beliau berkeyakinan menempuh PRU14.

“Banyak isu yang timbul sebelum ini kerana rasa tak puas hati golongan yang tak mahu saya dicalonkan, tetapi kalau betul saya bermasalah, bankrap, sepertimana yang mereka cakap, tak mungkin saya boleh dicalonkan kerana semua calon akan melalui saringan Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Sebagai bukti, saya terus mendampingi rakyat sepanjang menjadi Ketua Umno Bahagian Merbok dalam tempoh 10 tahun ini, disebabkan sokongan orang bawah, saya dipilih,” katanya.

Mengulas mengenai musuh politik yang sering menjadi duri dalam daging, Tajul Urus meminta agar semua pihak akur dengan keputusan akar umbi dan memberikan sokongan terhadap parti bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di Parlimen Merbok.

Nor Azrina SuripTajul Urus Mat ZainMerbok BN PKR
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :