Terimalah Norliza sebagai calon: Muhyiddin

MUAR - Calon PKR kerusi Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar semua ahli Bersatu di Pengerang menerima keputusan pelantikan calon di kerusi Parlimen itu, Norliza Ngadiran.

Menurut beliau, sudah tiada masa lagi untuk menolak pemilihan calon berkenaan selain wanita terbabit juga dianggap tepat untuk bertanding di Parlimen itu.

“Nasihat saya adalah mereka terimalah keputusan ini sebab masa sekarang pun kritikal untuk tentukan setiap calon yang bertanding atas nama PKR ni.

“Kita dah buat analisa bahawa tak jadi masalah siapa pun yang kita letakkan sekiranya ia mendapat sokongan daripada mana-mana ahli kita di kepimpinan bahagian macam yang berlaku di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya di hadapan lebih 100 penduduk di Kampung Parit Nawi, di sini, kelmarin.

Muhyiddin berkata, sokongan ahli Bersatu di bahagian itu adalah penting dalam memastikan kelancaran dan kesempurnaan perjalanan kempen mereka.

“Jadi saya harap mereka fikir baik-baik kerana ini bukan pandangan jangka pendek. Dia mesti fikir lepas ni apa dan sebagainya. Yang penting kita nak tentukan kemenangan dan setiap satu kerusi yang kita tandingi beri impak besar untuk menentukan kita boleh pergi ke Putrajaya.

“Tapi nasihat saya adalah jangan buat kerenah begitu. Saya lihat di sesetengah tempat lain pun ada juga masalah sebegini iaitu calon-calon yang diletakkan di peringkat awal ditolak atau tak berpuas hati. Mereka harus sedar setiap keputusan harus diterima kerana mereka telah buat kerja,” katanya.

Terdahulu, bantahan Bersatu Bahagian Pengerang mengenai pencalonan Ketua Srikandi Johor, Norliza Ngadiran dibuat sebagai tanda protes terhadap keputusan wanita itu yang diletakkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pengerang.

Bersatu Bahagian Pengerang dilaporkan sebagai berkata, bantahan itu dibuat berikutan Norliza dikatakan bakal muflis selain calon itu disifatkan sebagai orang luar kerana menetap di Pontian.

Muhyiddin YassinNorliza NgadiraPagoh Pengerang
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :