TANGGA BATU - Dakwaan mengatakan Jualan Sentuhan Rakyat menjadi modal sogokan untuk memancing undi adalah terlalu keterlaluan dan tidak berasas.
Calon BN bagi Parlimen Tangga Batu, Datuk Zali Md Yasin berkata, apa yang dilakukan BN sebenarnya adalah untuk mencari penyelesaian supaya rakyat hidup lebih selesa.
“Mereka sanggup buat apa saja, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan untuk mengurangkan beban rakyat pun dikatakan dedak, nasihat saya tak payah layan.
“Lima tahun sekali datang buat kacau, haru-birukan keadaan, tapi tiada pelaksanaan kaedah untuk bantu rakyat,” katanya ketika menghadiri Jualan Sentuhan Rakyat yang turut dihadiri calon BN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di Taman Tangga Batu Perdana di sini.
Mengulas lanjut, seorang pembeli, Shafiq Majid menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut.
“Ikutkan jualan ini sudah berlangsung sebelum musim pilihan raya lagi.
“Kerajaan telah rangka pelbagai inisiatif terbaik untuk bantu rakyat hadapi kos sara hidup, tetapi perkara ini dikatakan sebagai sogokan, saya rasa ia tidak munasabah,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Choo Ngian Chin berkata, program itu seharusnya diadakan lebih kerap, walaupun musim pilihan raya berakhir.
“Perkara macam ini bagus untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana kurangkan kos kehidupan.
“Cadangan saya, perkara ini diteruskan dan perluas, jangan hanya dilakukan semasa musim pilihan raya, dikhuatiri jadi modal politik,” katanya.
Pada jualan itu, orang ramai dilihat menyerbu barangan dapur seperti ayam, telur dan beras yang dijual pada harga rendah berbanding harga pasaran.